Pindaan Perlembagaan antilompat parti untuk puaskan hati semua, kata penganalisis


Chan Kok Leong

Dewan Rakyat akan mengadakan sidang khas Isnin ini untuk membentang dan membahaskan pindaan Perlembagaan Persekutuan yang keempat sejak 2018. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 April, 2022.

SELEPAS tertangguh berbulan-bulan, kerajaan pada Jumaat memberitahu ahli-ahli Parlimen ia mahu meminda Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan untuk menyekat wakil rakyat daripada lompat parti.

Pindaan itu bukan serta-merta menyekat wakil rakyat daripada lompat parti sebaliknya membolehkan kerajaan menggubal undang-undang untuk menghalang amalan berkenaan, kata kerajaan.

Sebelum ini sumber memberitahu The Malaysian Insight kerajaan mahu memasukkan fasal baharu 10(3A) dan 49(A) serta meminta Jadual Kelapan melalui pindaan Perlembagaan yang ketiga selepas Ismail Sabri Yaakob jadi perdana menteri pada Ogos 2021.

Perkara 10(3A) bertujuan merintis usaha menyekat amalan lompat parti sementara Perkara 49(A) dan pindaan Jadual Kelapan menyenaraikan keadaan bagaimana kerusi Parlimen boleh dikosongkan sekiranya wakil rakyat keluar parti atau dipecat dari partinya.

Walaupun Perkara 49(A) tidak merangkumi semua keadaan, ia boleh menyekat amalan lompat parti seperti yang berlaku dalam percaturan politik Langkah Sheraton dan di Kedah, Perak, Johor, Sabah, dan Melaka, yang menyebabkan kerajaan negeri jatuh.

Perkara 49(A) yang dicadangkan bagaimanapun dibantah oleh sekutu Ismail Sabri sendiri sehingga memaksa kerajaan menggugurkannya dan pindaan yang dikemukakan hanyalah Perkara 10(3a).

Ini tidak mengejutkan kerana separuh daripada 50 ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) sebelum ini lompat parti, dengan 15 daripada menang Pilihan Raya Umum ke-14 atas tiket Barisan Nasional (BN) sementara 10 dari PKR.

Cadangan pindaan Isnin ini menyentuh mereka, dan ini ternampak daripada kenyataan media PN, PAS dan GPS yang menegaskan pendirian akan menyokongnya.

Selain membuka jalan untuk penggubalan satu undang-undang khas antilompat parti selepas ini, pindaan Isnin ini akan memberi Ismail Sabri sedikit kelegaan daripada tekanan pemimpin Umno untuk membubarkan Parlimen.

Beliau boleh meneruskan Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik yang ditandatangani kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan (PH).

“Sudah tentu!” kata penganalisis politik Dr Kamarul Zaman Yusoff dari Universiti Utara Malaysia.

“Pindaan ini bermakna Ismail Sabri berjaya capai apa yang Majlis Tertinggi Umno tuntut daripadanya selepas beliau jadi perdana menteri.”

Selain itu, Kamarul berkata pindaan itu akan membolehkan undang-undang antilompat parti digubal.

“Tiada yang menentang pindaan Perkara 10 kerana menentangnya bermakna tidak setuju dengan undang-undang lompat parti.

“Apa yang sesetengah pihak terutamanya PN bantah hanyalah butiran mengenai lompat parti,” katanya.

Meredakan tekanan

Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Dr Tunku Mohar Tunku Mohd Mokhtar percaya tolak ansur itu akan membolehkan Ismail Sabri dapat undi dua pertiga yang diperlukan untuk meminda perlembagaan.

“Saya rasa versi pindaan yang diubah ini nampak elok dan diperlukan untuk undang-undang antilompat parti yang lebih khusus. Oleh sebab ia tidak sensitif, kemungkinannya pindaan ini akan lulus.

“Cabaran sebenar ialah sama ada undang-undang antilompat parti akan dibentang di Parlimen,” katanya.

Sokongan kepada pindaan itu bagaimanapun tidak harus dilihat sebagai sokongan kepada Ismail Sabri, kata Tunku Mohar.

“Selepas Pilihan Raya Negeri Melaka dan Johor, Umno secara terbuka berkata akan memperkenalkan undang-undang antilompat parti.

“Sokongannya kepada undang-undang itu bukan sokongan kepada kepimpinan Ismail Sabri,” katanya.

Tunku Mohar juga melihat pindaan ini satu kemenangan bagi PH, yang sebelum ini dimomok oleh Warisan kerana menandatangani MoU dengan kerajaan.

“Suka atau tidak MoU ini menstabilkan politik dan memaksa kerajaan untuk meminta perlembagaan untuk mengembalikan kedudukan Sabah dan Sarawak dan sekarang merintis kepada undang-undang antilompat parti,” katanya.

Dewan Rakyat akan mengadakan sidang khas Isnin ini untuk membentang dan membahaskan pindaan Perlembagaan Persekutuan yang keempat sejak 2018.

Pindaan sebelum ini melibatkan had umur layak mengundi yang diturunkan kepada 18 dan kemudian mengembalikan kedudukan Sabah dan Sarawak. Pindaan ketiga bulan lepas mengeluarkan kerabat diraja daripada daftar pengundi. – 10 April, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen