RUU anti lompat parti ‘tidak sempurna’ tapi penting, kata sumber Pakatan


Chan Kok Leong

RUU anti lompat parti penting kerana PRU15 akan diadakan dengan pengundi yang mungkin kecewa dengan drama lama landskap politik negara dua tahun lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 April, 2022.

RANG Undang-Undang (RUU) anti lompat parti yang dicadangkan kerajaan tidak akan sempurna dan mungkin tidak meliputi semua kebebasan wakil rakyat yang dipilih meninggalkan partinya.

Namun, menurut sumber Pakatan Harapan (PH) gabungan itu akan menyokongnya selagi ia menghalang wakil yang dipilih daripada melompat parti selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Tambah sumber itu lagi, kelulusan RUU itu adalah amat penting kerana PRU15 akan diadakan di tengah-tengah kebimbangan pembangkang mengenai pengundi yang kecewa dengan drama lama landskap politik negara dua tahun lalu.

RUU itu juga merupakan klausa utama dalam Memorandum Persefahaman (MoU) untuk kestabilan politik antara kerajaan dan PH, dan ditangguhkan beberapa bulan kerana beberapa pihak tidak dapat bersetuju dengan cadangan kerajaan.

“Rang undang-undang yang dicadangkan kerajaan tidak sempurna kerana ia tidak termasuk mekanisme penarikan balik tetapi kami bersedia menyokongnya jika ia dapat menghalang ahli Parlimen atau Adun daripada melompat parti sewenang-wenangnya,” kata seorang pemimpin PH.

Beliau berkata situasi semasa yang membolehkan ahli Parlimen bertukar parti adalah tidak baik kepada sesiapa.

“Sama ada parti politik, ahli politik atau pengundi, kita semua rugi apabila wakil rakyat melompat parti atau menukar pakatan.

“Parti akan kehilangan kerajaan, dan ahli politik akan hilang kredibiliti dan pengundi akan berputus asa terhadap demokrasi,” katanya.

Kebimbangan terhadap pengundi tidak akan keluar mengundi dirasai daripada tiga pilihan raya negeri lepas di Melaka, Sarawak dan Johor yang menyaksikan peratusan keluar mengundi terendah dengan masing-masing hanya merekodkan sebanyak 65.85%, 60.67% dan 54.92%.

Pada pilihan raya umum 2018, purata peratusan keluar mengundi ialah 82.32%.

Faktor seperti pandemik Covid-19 dan prosedur operasi standard (SOP) pilihan raya yang ketat juga menyumbang kepada kelemahan peratusan keluar mengundi dalam pilihan raya negeri baru-baru ini.

Namun, tinjauan mendapati rata-rata pengundi merasakan undi mereka tidak lagi penting selepas Langkah Sheraton pada 2020 dan akibatnya.

Kerajaan PH ditumbangkan akibat ahli Parlimen melompat parti termasuk mengadakan pakatan baharu seperti dalam kes Bersatu.

Kesannya bukan saja dirasai di peringkat Persekutuan tetapi di beberapa kerajaan negeri yang akhirnya bertukar tangan. – 4 April, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen