Panggilan ke talian khidmat pelanggan TNB sepatutnya percuma, kata wakil rakyat


Noel Achariam

TNB sepatutnya boleh menyerap kos pelanggan yang memerlukan bantuan dan menyalurkan aduan supaya tidak membebankan rakyat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 April, 2022.

TALIAN perkhidmatan pelanggan Tenaga Nasional Bhd (TNB) untuk orang ramai menyalurkan aduan mereka sepatutnya percuma, kata Adun Bukit Gasing Rajiv Rishyakaran.

Ahli Parlimen DAP itu berkata pada masa ini, penyedia perkhidmatan telekomunikasi mengenakan bayaran kepada mereka yang menghubungi talian khidmat pelanggan TNB 15454. Kos untuk panggilan berbeza antara syarikat telekomunikasi.

Sebagai sebahagian daripada tugas sivik TNB, syarikat utiliti negara harus menyerap kos mereka yang memerlukan bantuan dan menyalurkan aduan supaya tidak membebankan rakyat.

Bagi mengawal selia perkhidmatan, Rajiv berkata Suruhanjaya Tenaga harus campur tangan dan meneliti isu itu.

Rajiv berkata Telekom Malaysia Bhd (TM), Indah Water Konsortium, Air Selangor dan syarikat lain sama ada mengenakan kadar yang berpatutan atau menyediakan nombor bebas tol.

“Ada syarikat telekomunikasi mengenakan caj 30 sen seminit, ada juga 0.075 sen selama 30 saat, manakala yang lain mengenakan caj sendiri untuk menghubungi TNB.

“TNB, sebuah syarikat dengan keuntungan tahunan berbilion ringgit, boleh menyerap kos dengan mudah,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Sebagai respons, TNB memberitahu The Malaysian Insight yang nombor perkhidmatan pelanggannya 15454 adalah platform sehenti di mana pelanggan boleh melaporkan gangguan bekalan elektrik atau lampu jalan rosak.

Pembekal tenaga itu berkata semua kadar panggilan tempatan terpakai apabila ia dibuat melalui talian tetap atau mudah alih, berdasarkan caj telco untuk panggilan suara manakala SMS adalah percuma.

“Caj panggilan ke 15454 adalah sangat minimum dan dibayar terus kepada syarikat telekomunikasi yang dilanggan pelanggan.

“Telco juga mengenakan caj bagi panggilan yang dibuat ke nombor perkhidmatan pelanggan penyedia perkhidmatan lain.”

TNB berkata terdapat pilihan tidak bercaj lain di media sosial untuk pelanggan membuat laporan mengenai gangguan tanpa dikenakan bayaran panggilan.

Ia adalah laman Facebook TNB (TNBCareLine) dan akaun Twitter (@Tenaga_Nasional).

“TNB sepatutnya menyerap kos,” Rajiv menegaskan.

“Ia boleh berunding untuk kadar lebih murah berbanding dengan caj dikenakan syarikat telekomunikasi kepada pengguna.

“Saya sangat berharap agar tidak menukar nombor (15454) kerana orang ramai sudah biasa dengannya.”

Beliau berkata kebanyakan pelanggang membuat panggilan berhubung isu bil dan pemotongan bekalan elektrik, tetapi walaupun begitu mereka tidak sepatutnya dikenakan bayaran untuk panggilan tersebut.

“Isu ini diketengahkan oleh seorang penduduk selepas dikenakan caj kerana menghubungi TNB.

“Beberapa panggilan juga adalah untuk khidmat awam, seperti melaporkan lampu jalan yang rosak.”

Beliau percaya keadaan itu boleh diselesaikan oleh TNB dan Suruhanjaya Tenaga dengan menyediakan panggilan percuma untuk pelanggan.

Rajiv berkata beliau sudah dua kali menulis kepada Suruhanjaya Tenaga, pertama kali pada Mac dan kemudian 1 April. – 10 April, 2022.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen