Fomca desak Bank Negara perjelas bunga 36% untuk peminjam Touch n' Go


Kumpulan Touch 'n Go melancarkan produk pinjaman mikronya yang dibangunkan bersama CIMB Bank Berhad pada 1 April lalu. – Gambar touchngo.com.my, 8 April, 2022.

BADAN pengguna mendesak Bank Negara Malaysia menjelaskan kebenaran kepada pengendali pembayaran tol Touch n’ Go mengenakan kadar bunga sehingga 36% untuk produk pinjaman wang.

Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) menganggap kadar itu tidak wajar dibenarkan, apatah lagi bagi produk hutang yang sepatutnya membantu golongan kurang berkemampuan.

Ia turut menunjukkan Bank Negara dan Kementerian Kewangan tidak mempedulikan nasib rakyat yang tertekan, kata Setiausaha Agung Fomca Dr Paul Selva Raj.

“Bolehkah pengawal selia itu menjelaskan kadar 36% dikenakan untuk hutang disasarkan kepada golongan kurang mampu mematuhi amalan memberi hutang yang bertanggungjawab?

“Jelas sekali pengawal selia dan Kementerian Kewangan tidak  mempedulikan langsung kebajikan pengguna,” katanya yang mahu amalan pencatutan seperti itu disekat segera.

Tambah Selva Raj lagi, kementerian dan juga Bank Negara sepatutnya bertindak sebagai pelindung kepada amalan yang menindas dan tidak adil.

“Tetapi mereka nampaknya bukan sahaja membenarkan skim tidak adil ini, tetapi sanggup menjadi sebahagian dari pasukan pemasaran untuk mempromosi produk ini.

 “Nampaknya, Kementerian Kewangan mengutamakan untung melampau bagi bank berbanding melindungi kebajikan dan kesejahteraan pengguna,” katanya lagi.

Sedangkan kerajaan dan syarikat berkaitannya seperti Touch n’ Go sepatutnya membantu menyediakan pinjaman dengan kadar bunga rendah dan tidak melampau sehingga 36%.

Jelasnya, ia akan memberi tekanan kewangan yang kritikan ke atas pengguna sasaran yang sudahpun menderita akibat kehilangan kerja, pengurangan pendapatan dan kenaikan kos sara hidup.

Fomca menuntut jawapan bank pusat itu ekoran dakwaan Touch n’ Go semalam bahawa kadar bunga sehingga 36% itu mematuhi garis panduan Bank Negara Malaysia.

Kadar bunga bagi produk hutang dalam program GOpinjam itu amat melampau berbanding kadar faedah dikenakan bank komersial di antara 4% hingga 7% setahun.

Malah, kadar 36% itu dua kali ganda lebih tinggi dari kadar faedah kad kredit yang ditetapkan 15% hingga 18% setahun – yang didakwa Touch n’ Go sebagai usaha membantu golongan miskin.

Kumpulan Touch ‘n Go semalam menyebut kadar bunga antara 8% hingga 36% peratus bagi produk yang dibangunkan bersama CIMB Bank itu setanding dengan produk pinjaman peribadi lain.

Ia menyatakan, kadar bunga hutang berkenaan dikenakan mengikut profil kredit peminjam, jumlah pinjaman dan tempoh pinjaman.

Pinjaman itu juga tidak dikenakan yuran duti setem atau yuran pemprosesan, kata Touch ‘n Go yang turut menegaskan tawaran itu mengikut garis panduan Bank Negara Malaysia.

Produk pinjaman mikro yang dilancarkan pada 1 April itu menawarkan pinjaman peribadi RM100 hingga RM10,000 dengan tempoh bayaran antara satu minggu hingga satu tahun.

Peminjam dengan pendapatan bulanan minimum RM800 layak memohon produk berkenaan yang disasarkan kepada 16 juta pengguna berdaftar Touch ‘n Go.

Program itu diperkenal ketika Touch n’ Go bergelut dengan keengganan pengguna untuk melanggan produk bayaran tol baharunya untuk sistem Identifikasi Frekuensi Radio (RFID).

Penguatkuasaan sistem itu pada Januari lalu mengakibatkan kesesakan teruk di plaza tol, yang menimbulkan kemarahan ramai dan memaksa Touch n’ Go menunda pelaksanaannya.

Touch n’ Go melancarkan produk hutang GOpinjam pada Isnin lalu dalam satu acara bersama Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz.

Ia mensasarkan untuk memberi pinjaman berjumlah RM300 juta melalui aplikasi TNG eWallet. – 8 April, 2022.     


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen