Pakatan Selangor sambung rundingan kerusi lepas Tahun Baru Cina


Radzi Razak

Pengerusi Jawatankuasa Perundingan Kerusi PH Selangor Xavier Jayakumar berkata sehingga kini, terdapat 15 hingga 20 lagi kerusi yang masih tidak diselesaikan daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Februari, 2018.

PERBINCANGAN mengenai pembahagian kerusi Pakatan Harapan (PH) Selangor masih tidak mencapai kata sepakat dan hanya akan bersambung selepas dua minggu lagi.

Pengerusi Jawatankuasa Perundingan Kerusi PH Selangor Xavier Jayakumar berkata sehingga kini, terdapat 15 hingga 20 lagi kerusi yang masih tidak diselesaikan daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.

“Hari ini tak ada keputusan lagi… Kita akan teruskan perundingan lagi lepas perayaan Tahun Baru Cina… Hari ini (belum) ada keputusan lagi,” katanya selepas mesyuarat kali kedua antara wakil parti itu di Shah Alam hari ini.

Jelasnya keputusan berkenaan hanya akan dapat dibuat selepas wakil parti membincangkan perkara itu dengan parti masing masing.

“Untuk sementara waktu itu, (wakil parti) akan balik kepada parti masing-masing untuk bincang kerusi lagi dalam negeri Selangor dan lepas itu sahaja kita boleh adakan keputusan. 

“Keempat-empat parti Selangor telah bincang kerusi pilihan raya akan datang dan kita telahpun ada sedikit kefahaman bahawa kita nak menang negeri Selangor dan semua parti bersama dengan kita dalam isu ini,” katanya lagi kepada pemberita hari ini.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi DAP Selangor Gobind Singh Deo berkata mesyuarat kali ini juga lebih mesra dan terbuka dengan kesemua wakil dari empat parti dalam PH memberi kesepakatan yang baik.

“Dalam mesyuarat hari ini, kita dah bergerak ke depan. Kami gembira dengan hasil mesyuarat hari ini,” kata beliau yang tidak mendedahkan hasil perbincangan hari ini.

Katanya, dalam mesyuarat minggu lalu, PH telah menyelesaikan 35 kerusi yang dimenangi mereka pada PRU lepas tanpa penyertaan DAP.

Ini kerana kebanyakan kerusi yang bertindih merupakan kerusi bekas Umno dan PAS yang dituntut tiga parti, PKR, DAP dan Amanah di kawasan-kawasan majoriti Melayu.

“Ia bukan soal kami tidak hadir dan mengambil tempat dalam perbincangan, ia tak tepat.

“Kami tiada di situ kerana ia perbincangan bilateral atau trilateral dalam cubaan untuk menyelesaikan masalah kerusi antara dua atau tiga pihak, ia perkara normal untuk perbincangan kerusi sama ada di pusat ataupun di semua peringkat.

“Selepas itulah kami berempat akan duduk dan selesaikannya,” kata ahli Parlimen Puchong itu lagi.

Bersatu Selangor bagaimanapun tidak bersetuju dengan pengumuman PH Selangor bahawa 35 daripada 56 kerusi di Selangor telah diputuskan.

Menurut Ketua Penerangan Bersatu Sallehudin Amiruddin mereka tidak berpuas hati kerana 12 kerusi Umno yang ingin ditandingi parti itu didakwa telah diberikan kepada PKR.

Sementara itu, Amanah pula sedang dalam perbincangan bersama PKR dan Bersatu untuk bertanding di beberapa kerusi milik PAS.

Dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PU13), Pakatan Rakyat yang dianggotai PKR, DAP dan PAS memenangi 44 daripada 56 kerusi DUN Selangor.

DAP memenangi kesemua 15 kerusi yang ditandingi, sementara PAS menang 15 daripada 21 kerusi dan PKR 14 daripada 21 kerusi. – 12 Februari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Yang pelik kenapa PKR naik terajui selangor sedangkan PAS lebih berhak dan layak untuk menerajui selangor.Nampak sekarang yang pakatan harapan begitu terdesak untuk menguasai selangor dan kini perebutan 3 penjuru antara PAS BN dan PH.kita akan lihat sejauh mana kuat pakatan harapan tanpa kelibat PAS dan laluan akan diberikan kepada BN.

    Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Hana ghaoul · Ulasan