Presiden Sri Lanka tawar kongsi kuasa ketika protes meningkat


Rakyat yang marah kerana krisis ekonomi paling teruk Sri Lanka mengadakan demokstrasi spontan di seluruh negara sejak beberapa minggu lepas menggesa presidennya Gotabaya Rajapaksa letak jawatan. Hari ini media melaporkan semua ahli kabinetnya telah letak jawatan termasuk gabenor bank pusat. – Gambar EPA, 4 April, 2022.

PRESIDEN Sri Lanka menawarkan untuk berkongsi kuasa dengan pembangkang pada Isnin ketika protes memuncak menuntut peletakan jawatannya berikutan kekurangan makanan, bahan api dan ubat-ubatan yang semakin teruk.

Rayuan Gotabaya Rajapaksa kepada wakil rakyat lain muncul ketika pasukan keselamatan bersenjata berusaha untuk meredakan lebih banyak demonstrasi mengenai apa yang kerajaan sendiri akui sebagai kekurangan keperluan yang paling teruk sejak merdeka daripada Britain pada 1948.

“Presiden jemput semua parti politik di Parlimen untuk yerima jawatan kabinet dan menyertai usaha mencari penyelesaian kepada krisis negara,” kata pejabat Rajapaksa dalam satu kenyataan.

Ia menekankan penyelesaian kepada krisis yang semakin meruncing harus ditemui “dalam rangka kerja demokrasi”, kerana beratus-ratus menyertai demonstrasi spontan di bandar, pekan dan kampung.

Jemputan itu dibuat selepas 26 menteri kabinet, kecuali Rajapaksa dan abangnya perdana menteri Mahinda Rajapaksa, letak jawatan. Gabenor bank pusat negara Ajith Cabraal menyertai senarai panjang peletakan jawatan pada Isnin.

Tindakan itu membuka jalan bagi puak politik pemerintah negara itu untuk memperkukuh kedudukannya.

Dagangan dihentikan di bursa saham negara beberapa saat selepas ia dibuka kerana saham jatuh lebih daripada ambang lima peratus yang diperlukan untuk mencetuskan pemberhentian automatik.

Negara kepulauan Asia Selatan itu berada dalam cengkaman kekurangan makanan dan bahan api yang belum pernah berlaku sebelum ini bersama-sama dengan rekod inflasi dan pemotongan tenaga yang melumpuhkan, tanpa tanda-tanda berakhirnya masalah ekonomi.

Kerajaan telah mengumumkan akan mendapatkan bailout daripada Tabung Kewangan Antarabangsa, tetapi perbincangan masih belum bermula.

Tentera dan polis diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga apabila perintah berkurung 36 jam berakhir pada subuh Isnin walaupun laporan risikan memberi amaran tentang lebih banyak kekacauan, menurut seorang pegawai keselamatan tertinggi kepada AFP. – AFP, 4 April, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen