Hadi berterima kasih Sultan Selangor kekalkan exco PAS


Amin Iskandar

Keputusan Sultan Selangor mengekalkan exco PAS disambut baik Presiden PAS Abdul Hadi Awang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Mei, 2017.

ABDUL Hadi Awang mengucapkan terima kasih kepada Sultan Sharafuddin Idris Shah kerana mengekalkan ketiga-tiga ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri (exco) daripada PAS di Selangor sehingga PRU14 akan datang.

Presiden PAS itu berkata, tindakan Sultan Selangor itu disanjung tinggi dan dilakukan demi memastikan kestabilan politik di negeri terkaya Malaysia itu.

“Patik sepenuhnya meyakini bahawa ketiga-tiga ahli MMKN (exco) Selangor dan 10 orang Adun daripada PAS tidak pernah luntur semangat untuk menjunjung kepercayaan DYMM Tuanku.

“Dan meneruskan amanah bagi menjaga kestabilan kerajaan negeri Selangor dan berkhidmat untuk rakyat dengan adil dan saksama,” kata ahli Parlimen Marang itu dalam satu kenyataan petang ini.

Pagi ini Sultan Sharafuddin Idris Shah bersetuju untuk mengekalkan tiga exco PAS sehingga PRU14 walaupun parti Islam itu sudah memutuskan kerjasama politik dengan PKR.

Kenyataan baginda yang dikeluarkan setiausaha peribadinya Mohamad Munir Bani, adalah untuk memastikan kestabilan dalam kerajaan Selangor pimpinan Menteri Besar Mohamed Azmin Ali.

“Beta juga mengambil kira mandat yang diberikan oleh rakyat kepada kerajaan negeri sedia ada untuk terus mentadbir bagi menjamin keharmonian dan pembangunan agar kemakmuran rakyat negeri Selangor ini tercapai,” kata baginda.

Pesuruhjaya PAS Selangor Sallehen Mukhyi pagi ini melahirkan penghargaan di atas kepercayaan yang diberi.

“PAS Selangor melalui tiga exco dan 10 wakil rakyatnya akan terus bekerja bersungguh-sungguh dan meneruskan kesetiaan dan khidmat cemerlang.

“Apa yang penting bagi kami, kepentingan rakyat dan kestabilan politik adalah keutamaan yang tiada tukar gantinya.

“Kami mengambil pendirian putus tahaluf bukan bermakna putus silaturrahim, putus setiakawan, putus hubungan kerjasama dalam melakukan kebaikan (Taawun). Bahkan akan terus memperkukuhkannya.”– 25 Mei 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen