SULTAN Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bersetuju untuk mengekalkan tiga exco PAS di dalam Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) sehingga Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Kenyataan baginda yang dikeluarkan setiausaha peribadinya Mohamad Munir Bani, adalah untuk memastikan kestabilan dalam kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar Mohamed Azmin Ali.
“Beta juga mengambil kira mandat yang diberikan oleh rakyat kepada kerajaan negeri sedia ada untuk terus mentadbir bagi menjamin keharmonian dan pembangunan agar kemakmuran rakyat negeri Selangor ini tercapai,” kata baginda.
Baginda turut menyeru semua pihak agar tidak menimbulkan sebarang spekulasi negatif tentang kestabilan kerajaan Selangor.
Sebelum ini, Azmin, pesuruhjaya PAS Selangor dan tiga exco bertemu baginda secara berasingan bagi membincangkan mengenai kedudukan semasa barisan kepimpinan MMKN susulan keputusan PAS Pusat memutuskan kerjasama politik dengan PKR.
Sementara itu, Pesuruhjaya PAS Selangor Sallehen Mukhyi hari ini melahirkan penghargaan di atas kepercayaan yang diberi.
“PAS Selangor melalui tiga exco dan 10 wakil rakyatnya akan terus bekerja bersungguh-sungguh dan meneruskan kesetiaan dan khidmat cemerlang.
“Apa yang penting bagi kami, kepentingan rakyat dan kestabilan politik adalah keutamaan yang tiada tukar gantinya,” ujarnya.
“Kami mengambil pendirian putus tahaluf bukan bermakna putus silaturrahim, putus setiakawan, putus hubungan kerjasama dalam melakukan kebaikan (Taawun). Bahkan akan terus memperkukuhkannya.”
PAS Selangor sebelum ini menegaskan keputusan putus kerjasama politik dengan PKR hanya berkaitan dengan persediaan menghadapai pilihan raya yang datang, bukannya urus tadbir kerajaan negeri. – 25 Mei, 2017.
Komen