PUTRAJAYA sudah membayar ex-gratia RM1.5 juta kepada keluarga anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim yang meninggal dunia dalam rusuhan dekat sebuah kuil di Subang Jaya, Selangor, lebih tiga tahun lalu, umum Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.
Bayaran itu dibuat pada 29 November tahun lalu, katanya, walaupun siasatan kematian Adib masih berjalan.
“Jawatankuasa khas siasatan telah membentangkan laporan interim pada 15 Mac 2022.
“Walaupun siasatan masih berjalan tetapi Kerajaan telah pun membayar ‘ex-gratia’ berjumlah RM1.5 juta kepada keluarga arwah pada 29 November 2021.
“Ini bukti kesungguhan dan keprihatinan Umno membela nasib rakyat,” katanya berucap di hujung Perhimpunan Agung Umno 2021 di Kuala Lumpur, hari ini.
Ismail Sabri berucap menggulung perbahasan usul ucapan dasar presiden selaku naib presiden Umno.
Beliau menggunakan kesempatan itu untuk menjawab perkara-perkara yang dibangkitkan oleh perwakilan mengenai urusan kerajaan.
Mesyuarat Jemaah Menteri pada Oktober 2021 memutuskan penubuhan sebuah jawatankuasa khas untuk memastikan siasatan yang telus dan menyeluruh berhubung kematian Adib.
Adib, 24, anggota unit bantuan perkhidmatan kecemasan Balai Bomba Subang Jaya cedera parah dalam insiden malam kedua rusuhan dekat Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Subang Jaya pada awal pagi 28 November 2018.
Beliau yang kritikal sempat sedar semula sepanjang tempoh tiga minggu dirawat di hospital sebelum menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara, pada 17 Disember 2018, lima hari sebelum dijadual melangsungkan perkahwinan.
Pada 27 September 2019, Mahkamah Koroner memutuskan Adib meninggal dunia akibat perbuatan jenayah melibatkan lebih seorang individu yang tidak dikenali.
Inkues itu juga mendapati tiada keterangan mana-mana saksi yang dapat mengaitkan bahawa Adib dibunuh.
Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador pada masa itu kemudian berkata polis bercadang untuk menyiasat semula segala aspek melibatkan kes kematian Adib.
Keluarga anggota bomba itu juga ketika itu bercadang mengambil tindakan sivil untuk menuntut ganti rugi atas kegagalan dan kecuaian pihak polis sehingga menyebabkan kematian Adib. – 19 Mac, 2022.
Komen