PUTRAJAYA perlu menjelaskan samada 61% kuota Bumiputera adalah tanda aras baharu untuk kontrak perolehan kerajaan, kata Lim Guan Eng hari ini.
Setiausaha agung DAP itu merujuk kepada pengumuman dibuat Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz yang 61% kontrak kerja dan perkhidmatan pembekal tempatan dalam inisiatif 5G akan diberi keutamaan kepada kepentingan Bumiputera.
“Kerajaan perlu menjelaskan peningkatan kepada 61% kepentingan Bumiputera, samada ini adalah tanda aras baharu untuk kontrak perolehan kerajaan utama,” kata Lim dalam satu kenyataan.
“Untuk memperluaskan kepada 61% tanpa perbincangan adalah perubahan besar dasar yang sepatutnya dilakukan dengan perundingan penuh dengan semua pemegang taruh kerana ia berkaitan dengan isu keadilan atau kesaksamaan, menggalakkan persaingan dan samada ia membantu ke arah pewujudan persaingan adil,” kata Lim yang juga bekas menteri kewangan pentadbiran Pakatan Harapan itu.
Tambahnya, sebagai perbandingan, untuk projek Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL), pentadbiran Barisan Nasional menetapkan kepentingan Bumiputera dan penglibatan pembekal tempatan pada kadar 40%.
Begitu juga dengan syarikat logistik, Jabatan Kastam mengekalkan tanda aras 30% berbanding 51% ekuiti Bumiputera yang dicadangkan, kata Lim lagi.
Awal minggu ini, Tengku Zafrul mengumumkan keputusan kerajaan untuk kekal bersama model rangkaian borong tunggal (SWN) 5G, dengan Putrajaya memiliki 30% kepentingan dalam syarikat pelaksana, Digital Nasional Bhd (DNB) dan 70% lagi dimiliki oleh operator rangkaian.
Zafrul berkata kerajaan juga mempunyai kontrak dengan Ericsson (Malaysia) Sdn Bhd, pembekal perkakasan rangkaian yang dilantik untuk “mengoptimumkan kontrak kerja dan perkhidmatan untuk pembekal tempatan” dengan jangkaan 61% akan diberikan kepada Bumiputera. – 19 Mac, 2022.
Komen