Umno tak minat kestabilan politik, MoU, kata Mahfuz


Aminah Farid

Ahli Parlimen Pokok Sena Mahfuz Omar berkata keghairahan Umno untuk mendesak pilihan raya umum diadakan segera menunjukkan parti itu seolah-olah cuba melangkaui kuasa Yang di-Pertuan Agong. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Mac, 2022.

UMNO dilihat tidak berminat untuk mewujudkan kestabilan politik malah tidak menghormati memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani antara kerajaan dan ahli Parlimen pembangkang, kata Mahfuz Omar (PH-Pokok Sena) kepada Parlimen hari ini.

Katanya, selepas mencetuskan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor, Umno kini tidak tergesa-gesa untuk membubarkan Parlimen pula.

Mahfuz berkata, keghairahan Umno untuk mendesak pilihan raya umum (PRU) menunjukkan parti itu seolah-olah cuba mengambil alih kuasa Yang di-Pertuan Agong, satu-satunya yang boleh bubar Parlimen.

“MoU ini ditandatangani atas nama kestabilan politik yang dicadangkan oleh Yang di-Pertuan Agong yang titah dirajanya kita bahaskan, namun di PWTC hari ini, kerajaan nampaknya tidak ada keinginan untuk mewujudkan kestabilan politik negara,” katanya merujuk kepada Perhimpunan Agung Umno yang sedang berlangsung.

MoU transformasi dan kestabilan politik telah ditandatangani secara bersama oleh kerajaan dan pemimpin Pakatan Harapan pada 13 September tahun lepas.

Mahfuz berkata demikian ketika mencelah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Mas Ermieyati Samsudin yang sedang menggulung titah diraja kementeriannya.

“Ramadan semakin dekat tetapi daripada bercakap tentang cara meraikannya, mereka di PWTC sibuk bercakap nak pilihan raya umum,” kata Mahfuz.

Semalam, Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan ketika berucap dalam Majlis Perasmian Perhimpunan Agung Pergerakan Sayap Wanita, Pemuda dan Puteri Umno berkata PRU perlu diadakan segera supaya Umno boleh “serang” ketika pembangkang lemah.

Sementara itu, awal hari ini, Ketua Puteri Umno Zahida Zarik Khan berkata beliau mahu Parlimen dibubarkan segera bagi membolehkan PRU15 diadakan.

Zahida berkata PRU perlu diadakan segera ketika semangat parti masih tinggi susulan kemenangan dalam PRN Melaka dan Johor “sebelum tonik beransur kendur.”

Sehubungan itu, Mahfuz berkata beliau bersetuju dengan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob yang awal hari ini mengingatkan ahli Umno supaya tidak melampaui batas sehingga dilihat mengambil alih kuasa Yang di-Pertuan Agong mendesak PRU15 disegerakan.

“Saya kasihan kepada rakan saya, perdana menteri, kerana terpaksa menghadapi perkara ini,” kata Mahfuz sambil memandang ke arah Ismail yang hadir di Parlimen.

“YAB PM, anda tidak sepatutnya memberi muka kepada mereka yang hanya kemaruk kuasa dan mahukan jawatan perdana menteri,” tambah Mahfuz.

Setakat ini, Ismail Sabri berkata, isu mempercepatkan PRU15 masih belum dibincangkan di peringkat parti dan tiada pihak yang menemuinya untuk membincangkan perkara itu. – 17 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen