Puteri Umno juga mahu Parlimen bubar segera


Kalidevi Mogan Kumarappa

Puteri Umno turut mendesak agar Parlimen dibubarkan segera bagi memberi laluan kepada PRU15. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 17 Mac, 2022.

SAYAP Puteri Umno turut mendesak agar Parlimen dibubarkan segera untuk mengadakan pilihan raya umum (PRU) bagi mengambil kesempatan ke atas semangat tinggi ahli parti pada masa ini.

Ketua pergerakan itu Zahida Zarik Khan dalam ucapannya di Perhimpunan Agung Umno 2021 menyebut semangat parti selepas memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor.

“Sebelum tonik beransur kendur, saya menyambut seruan Timbalan Presiden Mohamad Hassan dalam ucapan perasmiannya untuk Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengambil langkah menyegerakan pembubaran Parlimen supaya PRU15 boleh diadakan.

“Kita berada di gear empat dan hendak masuk gear kelima. Kita hendak memecut kereta kita ke garisan penamat supaya dapat meraih kemenangan yang mutlak,” katanya.

Dalam ucapan dasar di perhimpunan itu, beliau berkata langkah itu penting untuk menebus semula maruah parti selepas tewas dalam PRU14.

“Jangan lemahkan semangat kami. Jangan pandang rendah dengan wanita muda sebab kami boleh menjadi jantan daripada setengah jantan yang ada,” katanya.

Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno bakal memutuskan malam ini sama ada cadangan untuk menyegerakan PRU15 itu akan diangkat sebagai usul perhimpunan.

Mohamad yang juga merupakan pengarah pilihan raya Barisan Nasional (BN) pada malam tadi berkata, ia akan diputuskan selepas mengambil kira pandangan dan kehendak akar umbi parti.

Dalam ucapan sama, Zahida turut mengucapkan selamat tinggal kepada PAS kerana parti itu memilih untuk bersama Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN).

Beliau mengumpamakan pemimpin Bersatu dan PN sebagai katak dan kala jengking.

“Kita berkali-kali memberitahu PAS kalau mahu Bersatu, (terus bersama) Bersatulah kamu. Kalau mahu kami (Umno) maka ayuh bersama kami. Tinggalkan Bersatu.

“Di Melaka dan Johor, PAS membuat keputusan mereka lebih rela memeluk katak dan mandi di kolam yang penuh jengking, daripada kita yang sama-sama membentuk ummah Muafakat Nasional (MN).

“Selamat tinggal PAS. Semoga bahagialah kamu dengan pasangan hidupmu di kalangan katak dan jengking tadi,” katanya.

Zahida menegaskan, PAS tidak boleh berpoligami dengan membentuk kerjasama dengan Umno dan juga Bersatu pada masa sama kerana partinya kini sudah mengenali kawan dan lawan.

Ini memandangkan PAS sudahpun menolak kerjasama dengan Umno dalam PRN Melaka dan juga Johor.

“Di Melaka, tawaran kita kepada PAS ditolak kerana mereka lebih selesa dengan PN daripada MN. Di Johor pun begitu. Justeru, episod yang lalu mengajak kita mengenal siapa kawan dan siapa lawan.

“Tiada poligami dalam politik. Pilih satu antara dua. Bersatu adalah parti picisan Umno dan PKR.

“Malah mereka (Bersatu) sendiri ada sejarah pengkhianatan dalam kalangan mereka. Mereka bukan cita rasa kami,” katanya. – 17 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen