PERMOHONAN untuk pengeluaran khas RM10,000 akan dibuka bermula 1 April sehingga 30 April, kata Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Ia dibuka kepada semua pencarum berusia 55 tahun ke bawah dan bayaran akan dibuat bermula 20 April, menurut kenyataan dikeluarkan KWSP di Facebook.
Ahli dibenarkan mengeluarkan jumlah maksimum RM10,000 dengan jumlah minimum RM50 dari Akaun 2 terlebih dahulu sebelum dibenarkan mengakses Akaun 1.
“Tertakluk kepada baki simpanan Akaun 2. Jika tidak mencukupi, Akaun 1 boleh diakses,” jelas KWSP.
Petang tadi Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kerajaan memutuskan untuk meluluskan satu lagi pengeluaran KWSP.
Beliau menyeru pencarum untuk hanya mengeluarkan wang daripada tabung persaraan apabila benar-benar perlu.
Keputusan untuk membenarkan pengeluaran kali keempat dibuat selepas mengambil kira kesusahan yang masih dihadapi rakyat akibat wabak Covid-19, katanya.
Sebelum ini kerajaan memperkenalkan tiga skim - kemudahan i-Citra, i-Lestari dan i-Citra yang membolehkan pencarum mengeluarkan wang daripada KWSP.
Ketiga-tiga skim itu memanfaatkan 7.34 juta pencarum yang mengeluarkan sejumlah RM101 bilion.
KWSP berkata ketiga-tiga skim itu menyebabkan 6.1 juta ahli kini mempunyai kurang daripada RM10,000 dalam dana persaraan mereka.
Daripada jumlah itu seramai 3.6 juta ahli mempunyai kurang daripada RM1,000 simpanan.
Bumiputera merupakan 78% daripada pemohon pengeluaran. Hasilnya 4.4 juta - atau 54% ahli Bumiputera - kini mempunyai kurang daripada RM10,000. Di samping itu dua juta - atau 25% ahli Bumiputera - mempunyai kurang daripada RM1,000. – 16 Mac, 2022.
Komen