Boleh keluar RM10,000 lagi dari KWSP, kata Ismail Sabri


Pencarum KWSP dibenarkan untuk mengeluarkan sehingga RM10,000 lagi dari simpanan, kata Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Mac, 2022.

PENCARUM dibenarkan untuk mengeluarkan sehingga RM10,000 lagi dari simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), kata Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Keputusan itu dibuat selepas kerajaan mengambil kira keadaan semasa dan keperluan rakyat, katanya dalam ucapan disiarkan di televisyen dan pelantar media sosial petang ini.

“Kerajaan mendengar, mengkaji dan meneliti permintaan daripada semua pihak untuk mengeluarkan caruman KWSP. Justeru, kerajaan bersetuju membenarkan pengeluaran khas KWSP sebanyak RM10,000.

“Ini merupakan keputusan yang sukar kerana ia melibatkan simpanan hari tua rakyat dan pengeluaran khas ini adalah jalan tengah dalam mengimbangi antara keperluan mendesak hari ini dan simpanan masa hadapan.”

Butiran lanjut mengenainya akan diumumkan Kementerian Kewangan dan KWSP, katanya yang berharap pencarum mempertimbangkan dengan wajar sebelum membuat pengeluaran khas itu.

Dalam satu kenyataan segera, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata butiran mengenai pengeluaran tersebut akan diperincikan KWSP dalam masa terdekat.

“KWSP juga akan mengumumkan langkah-langkah perlu bagi menangani isu dana persaraan ahli yang telah berkurangan,” katanya.

Beliau pada Isnin mendedahkan, kebenaran itu akan menyebabkan RM63 bilion lagi dikeluarkan dari tabung itu.

KWSP sudahpun mengalami kerugian RM5.4 bilion daripada tiga skim pengeluaran khas sebelum ini yang menjejaskan dividen kepada pencarum.

Katanya, jika tidak kerana skim i-Sinar, i-Citra, dan i-Lestari, dividen untuk 2021 boleh mencapai 6.7%.

Skim yang diperkenal itu menyebabkan  lebih 5.3 juta ahli KWSP yang tidak mengeluarkan simpanan persaraan terpaksa menerima kadar dividen pada kadar 6.1%, katanya.

Seramai 4.4 juta ahli bumiputera didapati mempunyai simpananan kurang RM10,000 dalam KWSP dan daripada jumlah itu, seramai dua juta pencarum menyimpan kurang RM1,000.

Tuntutan untuk pengeluaran khas itu ditegaskan para pemimpin Umno terutama sewaktu kempen pilihan raya negeri Johor minggu lalu.

Ia turut disokong Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen