17 maut akibat taufan Gombe di Mozambique, Malawi 


Sebahagian besar rumah penduduk yang musnah akibat Taufan Gombe di Mozambique.– Gambar EPA, 14 Mac, 2022.

ANGKA kematian akibat taufan Gombe yang melanda Mozambique minggu ini meningkat kepada 12 pada Ahad ketika ia bergerak ke arah Malawi dan menyebabkan lima terbunuh.

Taufan yang membawa angin dan hujan yang dahsyat melanda negara-negara selatan Afrika.

Ia turut menyebabkan lebih 30,000 penduduk terjejas, 40 cedera dan memusnahkan lebih 3,000 kediaman sejak Jumaat lalu.

Angin kencang mencecah 170 kilometer sejam dan hujan lebat melanda wilayah Nampula utara di Lautan Hindi dan wilayah Zambezia.

Di bandar pelabuhan Nacala, rumah penduduk yang terletak di pinggir tebing menghadap lautan mengalami kerosakan teruk, menurut seorang jurugambar AFP.

Kebanyakan bumbung rumah yang diperbuat daripada jerami rosak dan kepingan zink turut dilihat bertaburan di jalan selepas dilanda angin kencang. 

Lapan pusat perlindungan dibuka di Nampula, Mozambique yang mana wilayah ini adalah yang paling teruk terjejas selepas dilanda Taufan Ana pada Januari. 

Mozambique turut dibadai oleh Taufan Idai pada 2019, ribut paling ganas pernah melanda negara itu.

“Gombe tiba dengan lebih intensiti daripada Idai, tetapi nasib baik ia tidak mempunyai kesan yang sama, dari segi kemusnahan dan fakta bahawa ia kehilangan kekuatan pada awalnya,” kata Cesar Tembe dari institut pengurusan risiko kebangsaan Mozambique.

Taufan Gombe bergerak ke arah Malawi, menurut Meteo-France, yang mana lima kematian dilaporkan lewat Ahad, kata pihak berkuasa dalam satu kenyataan.– AFP, 14 Mac, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen