75 maut Taufan Rai badai Filipina


Keadaan kediaman yang musnah dibadai Taufan Rai pada 17 Disember selepas ia melintasi bandar Surigao di wilayah Surigao del Norte, Filipina. – Gambar AFP, 19 Disember, 2021.

SEKURANG-KURANGNYA 75 orang dilaporkan maut dalam taufan terkuat yang melanda Filipina tahun ini, menurut angka rasmi yang dikeluarkan pada Ahad, ketika usaha menghantar air dan makanan ke pulau-pulau yang musnah semakin meningkat.

Lebih 300,000 orang terpaksa meninggalkan kediaman dan pusat peranginan di tepi pantai apabila Taufan Rai membadai wilayah selatan dan tengah kepulauan itu.

Ribut memusnahkan komunikasi dan elektrik di banyak kawasan, menerbangan bumbung dan menumbangkan tiang elektrik konkrit.

Arthur Yap, gabenor destinasi pelancongan terkenal Bohol, berkata dalam laman Facebook rasminya datuk bandar di pulau yang terjejas melaporkan 49 kematian di bandar mereka.

Itu menjadikan jumlah keseluruhan kematian yang sebanyak 75, menurut angka rasmi terkini.

Yap berkata 10 orang masih hilang di pulau itu dan 13 yang lain cedera selepas ribut melanda negara itu pada Khamis sebagai taufan super yang membawa angin berkelajuan 195km sejam.

“Komunikasi masih lemah. Hanya 21 daripada 48 datuk bandar menghubungi kami,” kata Yap, menimbulkan kebimbangan angka kematian mungkin meningkat di wilayah yang dilanda banjir.

Ribuan anggota tentera, polis, pengawal pantai dan bomba dikerahkan membantu dalam usaha mencari dan menyelamat di kawasan paling teruk terjejas.

Sebuah kapal Tentera Laut Filipina yang membawa barangan dan bantuan lain akan berlepas ke Bohol pada Isnin, kata Yap, selepas beliau sebelum ini mengisytiharkan darurat bencana di pulau itu.

Terdapat juga kemusnahan meluas di pulau Siargao, Dinagat dan Mindanao, yang turut terkena tempias Rai apabila ia membadai Filipina.

Gambar dari pandangan udara yang dikongsi oleh tentera menunjukkan kerosakan teruk di bandar Siargao General Luna, yang menjadi tumpuan ramai pelayar dan pelancong menjelang Krismas, dengan bangunan hilang bumbung dan serpihan bertaburan di tanah.

Gabenor Dinagat Arlene Bag-ao berkata pada Sabtu kerosakan landskap pulau itu mengingatkan kejadian yang berlaku disebabkan oleh Taufan Besar Haiyan pada 2013.

Haiyan, yang dikenali sebagai Yolanda di Filipina, merupakan taufan paling membawa maut dalam rekod di negara itu, menyebabkan lebih 7,300 nyawa terkorban atau hilang.

Kelajuan angin Rai berkurangan kepada 150 kmsj ketika ia bergerak melintasi negara, menyebabkan hujan lebat yang membanjiri kampung, menumbangkan pokok dan menghancurkan struktur kayu.

Ia muncul di atas Laut China Selatan pada Sabtu dan menuju ke Vietnam.

Filipina disenaraikan sebagai antara negara paling terdedah di dunia kepada kesan perubahan iklim—dibadai kira-kira 20 ribut dan taufan setiap tahun, yang biasanya memusnahkan kawasan pertanian, rumah dan infrastruktur di kawasan sedia ada miskin. – AFP, 19 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen