Parti politik giat pujuk pengundi menjelang pilihan raya Johor esok


Chan Kok Leong

Menjelang hari membuang undi pilihan raya Johor esok, semua parti dilihat bertungkus lumus merayu, membuat seruan kepada pengundi di ceramah-ceramah dan juga di media sosial. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 11 Mac, 2022.

PARTI pembangkang tidak mengalah malah terus mengadakan jelajah sekitar Johor hingga tengah malam walaupun Barisan Nasional (BN) diramal menang besar esok.

Di pihak Pakatan Harapan (PH), PKR, DAP dan Amanah dikepalai Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang, Lim Guan Eng serta Mohamad Sabu berucap di beberapa lokasi berbeza pada malam yang sama.

Antara pemimpin lain yang dilihat ialah Anthony Loke dan Tony Pua dari DAP, serta Saifuddin Nasution dan Fahmi Fadzil dari PKR.

Antara kawasan yang mereka singgah ialah Perling, Kota Iskandar dan Bukit Batu. Tempat lain yang mengadakan ceramah serentak termasuk Skudai, Larkin dan Bentayan.

Sementara PH terus memainkan isu rasuah dan salah guna kuasa BN, Guan Eng membuat seruan terakhir kepada pengundi di Perling.

“Mereka tuduh PH tidak tunaikan janji. Walaupun benar kami tidak mansuhkan tol Lebuhraya Utara-Selatan, kami dapat kurangkan caj sebanyak 18 peratus dan telah menghentikan kenaikan tol.”

Lim, yang merupakan bekas menteri kewangan, berkata PH akan tunaikan janji untuk mansuhkan tol di Lebuhraya Utara-Selatan jika ia mentadbir satu penggal penuh dan bukannya 22 bulan.

Ketika PH mengadakan ceramah serentak, Perikatan Nasional (PN) juga mengadakan ceramah akhir di kubu kuat pengerusi Muhyiddin Yassin di Pagoh.

Di ceramah PN itu Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man membuat jenaka terhadap BN dan Umno.

“Saya tengok dan tengok tetapi saya tidak nampak siapa poster boy mereka,” katanya.

“Mereka tidak boleh ada poster boy sebab semua mereka sama ada disabitkan kesalahan atau sedang dibicarakan di mahkamah,” katanya merujuk kepada pemimpin Umno termasuk presidennya Ahmad Zahid Hamidi dan bekas perdana menteri Najib Razak yang menghadapi perbicaraan rasuah.

Walaupun jumlah kehadiran ceramah dihadkan mengikut SOP pilihan raya,  ceramah di Facebook Live PH dan PN mencecah ribuan.

Parti baharu Pejuang juga membuat seruan saat akhir kepada pengundi Johor supaya menolak BN kerana rasuah.

Pengerusi Pejuang Dr Mahathir Mohamad dan Pengerusi Pejuang Johor Shahruddin Md Salleh mengadakan siaran langsung di Facebook selama 40 minit.

BN bagaimanapun tidak mengadakan sebarang majlis malam ini.

Sebaliknya, Umno menunjukkan wawancara langsung di Facebook dengan Zahid.

Dalam program itu, Zahid membentangkan rancangan parti untuk memulihkan ekonomi Johor dan menggesa pengundi memilih kestabilan. – 11 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen