BN akan menang Johor kerana pembangkang berpecah, kata Ilham Centre


Ilham Centre menjangkakan Barisan Nasional akan menang dengan tidak semena-mena dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor esok. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Mac, 2022.

BARISAN Nasional (BN) dijangka menang tidak semena-mena dalam pilihan raya negeri esok, antaranya disebabkan perpecahan pembangkang dan perebutan undi mengikut etnik, lapor Ilham Centre.

Badan kajian itu menjangka BN mampu meraih sekurang-kurangnya 35 dari 56 kerusi DUN Johor manakala Pakatan Harapan (PH) pula selesa di 10 kerusi.

“Baki 11 kerusi pula tidak dapat dibaca kerana berlaku perebutan sengit untuk dimenangi Perikatan Nasional (PN), BN dan PH,” kata badan itu dalam ringkasan eksekutif laporannya.

Bagaimanapun, hanya PN dianggap sebagai pencabar BN paling rapat disebabkan perpecahan di kalangan pembangkang yang semakin nyata dalam PRN kali ini.

Namun PN kurang sokongan pengundi Cina dan hanya mendapat undi Melayu-Islam yang rasional dan pengundi setia PAS manakala BN tetap dominan di kerusi dengan lebih 50% pengundi Melayu.

“Secara contoh di DUN Gambir – semakin tinggi sokongan diperolehi PN di kalangan pengundi Melayu, kemenangan masih lagi memihak kepada BN kerana PN tidak berjaya melepasi aras sokongan pengundi bukan Melayu yang diperlukan.

“Ini berlaku kerana undi (bukan Melayu) berpihak kepada PH dan menyebabkan BN memperolehi kemenangan,” kata Ilham Centre yang meninjau 1,391 responden.

Dengan itu, BN akan menang apabila apabila undi Cina disudutkan kepada PH dan undi Melayu terpecah-pecah dalam saingan pelbagai penjuru, rumus Ilham Centre.

“PRN Johor akan membuktikan dengan jelas sekiranya berlaku perebutan undi mengikut etnik akan memberikan keuntungan melalui undi yang sekadar mencukupi kepada BN.”

Kajian Ilham Centre di lapangan sejak 18 Februari hingga 7 Mac itu mendapati perpecahan di kalangan pembangkang menyebabkan pilihan raya menjadi terlalu rencam dan berbilang penjuru.

Hinggakan, kempen PH tempang kerana PKR menggunakan lambang sendiri dalam PRN itu selain gerakan jentera yang terpisah.

“Keputusan ini mengganggu keyakinan pengundi PH yang mengundi mereka dalam pilihan raya umum lepas,” kata Ilham Centre.

Selain itu, ketirisan sokongan pengundi Melayu yang menyokong PH kepada PN dan keengganan pengundi Cina keluar memilih juga mencabar pembangkang.

Keadaan yang berlaku itu diumpamakan Ilham Centre dengan peribahasa jong pecah, yu kenyang dengan PH kehilangan tokoh yang mampu menyatukan semua parti pembangkang.

Ia merumuskan, perebutan undi mengikut etnik hanya akan menguntungkan BN dan pembangkang tiada pilihan selain bergabung untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.

“Sekiranya pihak pembangkang gagal memenuhi syarat ini, kita boleh membuat kesimpulan yang sudah kita dapat jangka dalam pilihan raya umum akan datang,” tegasnya.

Ilham Centre turut melihat momentum kempen BN turut dikuatkan dengan kehadiran tokoh parti itu Najib Razak yang didapati berkempen bersungguh-sunguh dalam PRN kali ini.

“Penerimaan pengundi terhadap kehadiran (Najib) dipamerkan seakan-akan mantan perdana menteri tersebut tidak terpalit dengan sebarang skandal mahupun (didapati) bersalah oleh mahkamah

Bagaimanapun tokoh PN Muhyiddin Yassin didapati memanfaatkan popularitinya untuk mengimbangi populariti Najib, kata Ilham Centre.

Ia turut mengesan ramai pengundi Melayu akan keluar mengundi tetapi pengundi Cina masih ragu-ragu atas pelbagai faktor.

Pengundi baharu berjumlah 33.5% pula didapati tidak menunjukkan sikap dinamik dan antiestablishment yang menguntungkan pembangkang.

Sebaliknya, pengundi baharu ini didapat terlarut dalam budaya setempat dan terikat dengan pilihan tradisi keluarga kerana tiada pegangan politik yang kuat.

Jumlah keluar mengundi di kalangan segmen ini juga dijangka rendah dan tidak memberi impak signifikan. – 11 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen