Mahu berdamai dengan bumi, mesti berdamai dengan langit


Naim Al-Kalantani

INGAT lagi pada 2014, banjir teruk melanda Kelantan. Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada ketika itu menyatakan bahawa ia adalah banjir terbesar dalam sejarah Malaysia.

Tesis sarjana Farisah Ibrahim dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bertajuk ‘Strategi Penambahbaikan Pengurusan Bencana Banjir Besar di Kelantan’ mendapati masalah utama terbahagi kepada dua: semasa dan selepas pengurusan banjir.

MKN tidak mengambil langkah proaktif – atau setidak-tidaknya tidak berkesan dalam menangani pasca banjir. Tiap-tiap tahun Malaysia – terutama Kelantan – boleh dikatakan ‘wajib’ banjir. Tapi kita tak belajar dari sejarah, sekurang-kurangnya sejarah sembilan tahun lepas – dan kini, kita – bukan sahaja Kelantan, tapi Kuala Lumpur – dilanda banjir lagi!

Saya menolak untuk menyatakan bahawa banjir ini adalah ujian tuhan. Turut menolak menyatakan bahawa banjir ini sebuah kemarahan tuhan kepada masyarakat tertentu. Jangan salahkan tuhan jika banjir, tapi salahkan tangan-tangan manusia yang telah menyebabkan kemusnahan alam.

Kelantan yang kaya dengan hasil mahsul tanah dan pokok kayu, ditebang balak-balak dan ditakik bukit bakau untuk kerasukan manusia.

Kebetulan Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) baru sahaja menerbitkan antara adikarya Seyyed Hossein Nasr, Manusia dan Alam Tabii: Kemelut Ruhani Manusia Moden. Buku terjemahan dari Man and Nature ini menyatakan secara jelas hubung kait antara manusia dengan tuhan bukan sahaja nilai spiritual-metafizik yang melibatkan ibadah semata, tetapi melibatkan spiritual kepada alam.

Perkembangan teknologi, Revolusi Industri, kecerdasan buatan, semua itu dapat meningkatkan mutu pekerjaan manusia. Perkembangan ini bukan sahaja memudahkan pergerakan dan pekerjaan manusia sehari-hari.

Tetapi di sebalik semua itu, pertumbuhan industri tidak terkawal dan juga kepesatan teknologi yang semakin rencam, alam akan dimusnahkan.

Nasr tidak berlapik lagi dalam mengkritik manusia-manusia rakus yang kononnya kemajuan dianggap sebagai perkembangan ekonomi sebagai pelacur. Mereka mendapatkan nikmat kesedapan daripadanya tanpa ada sikit pun rasa kewajipan dan tanggungjawab.

Lihat sahaja bagaimana kilang-kilang besar yang mengeluarkan sisa-sisa toksik ke dalam laut. Bagaimana kes di Pasir Gudang yang mengakibatkan masalah kepada masyarakat dan alam sekitar yang lain. Semua ini kerana di dalam diri manusia tiada kesedaran spiritual untuk melayani alam dengan baik.

Kes di Johor tersebut, sepertimana yang kita tahu, masih berulang setelah pembongkaran dibuat. Pelacuran kepada sungai ini menjadikan ia mustahil untuk terus ‘dinikmati’ sehinggakan orang ramai mula berasa bimbang terhadapnya.

Nasr dalam bukunya bersikap adil, sebenarnya ada ramai yang menyedari dan insaf bahawa istana yang mereka bina itu cuma di atas pasir yang pasti akan roboh disentuh deburan ombak serta wujud kepincangan dalam hubungan manusia dan alam tabii. Tetapi masalah paling utama ialah falsafah tabii tidak diajarkan.

Kita sebagai orang awam tidak perlu sampai kepada ‘maqam’ falsafah tabii, tetapi lihat sahaja pak lebai-pak lebai di masjid yang lebih suka bercakap hal akidah bertuhan per-se, hal takrif lirik lagu, sehinggalah cara tuhan duduk.

Kita lupa berpesan dan menekankan isu manusia dengan alam tabii. Alam yang mana kini, menurut Nasr tidak lagi bersifat kudus bagi manusia moden meskipun hanya segelintir kecil yang sanggup meneruskan ikhtiar ini sehingga ke akhir.

Nasr dengan nada yang saya kira sangat sayu menyatakan juga bahawa kini jarang sekali kedengaran laungan suara menunjukkan bahawa kepercayaan kepada penguasaan alam tabii yang dianuti dewasa ini sebenarnya merampas, dari sudut pandang sama, peranan manusia sebagai penjaga dan pelindungnya.

Nasr menyambung dengan menyatakan bahawa sebahagian besar orang yang telah mengerahkan seluruh tenaga dan perhatian mereka kepada ilmu keagamaan kudus sekalipun gagal menerapnya pada dunia tabii.

Selepas Pakatan Harapan tumbang, Menteri Alam Sekitar kita bertukar kepada pak lebai, pun tidak dapat menyelesaikan hal ini. Sepatutnya orang-orang agama inilah yang berada di barisan paling hadapan mempertahankan alam tabii untuk berdamai dengan alam.

Tidak masuk dek akal sihat bagaimana orang agama, atau pemerintahan yang wujud parti agama di dalamnya, tidak bertindak secara komprehensif.

Tidakkah mereka (dan kita) tidak memikirkan banjir pada bulan Mac? Lazimnya banjir di Malaysia akan berlaku pada hujung tahun dan awal tahun. Tetapi bagaimana kini boleh berlaku pada bulan tiga? Tempat-tempat yang tidak pernah dinaiki air, sekarang kini dapat menghapuskan bumbung kereta.

Sekali lagi, tuhan tidak kejam. Letaklah kesalahan di atas pundak kita dahulu. Jangan cepat untuk mengucapkan ujian datang secara tiba-tiba tanpa sebab. Apa yang kita lakukan terhadap alam?

Tanggungjawab kita dengan tuhan berkadar terus dengan tanggungjawab kita terhadap alam kerana alam ini adalah karya tuhan.– 10 Mac, 2022.

* Naim Al-Kalantani, penuntut ijazah sarjana muda di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) dalam bidang penulisan kreatif di bawah Fakulti Penulisan Kreatif dan Filem.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen