SETIAP individu mempunyai cara tersendiri untuk mengatasi kesedihannya.
Ibu kepada pelajar berusia 11 tahun, Muhammad Thaqif Gaddafi, masih tidak mampu melakukan rutin hariannya seperti memasak kerana ia hanya mengingatkan betapa anak lelakinya itu sangat menggemari air tangannya.
Bapa kepada pelajar tahfiz, yang meninggal dunia selepas didakwa dipukul pembantu warden, sedang berkira-kira untuk menjadi seorang al-hafiz memandangkan ia adalah cita-cita anaknya.
Empat beradik Thaqif yang lain mempunyai cara berbeza untuk menerima hakikat kehilangan itu – mereka menghabiskan masa mengenang kenangan manis semasa bersama.
Sudah lebih sebulan sejak kematian Thaqif tetapi keluarganya masih belum mendapat pengakhiran kepada kejadian itu, tidak selagi pembunuh sebagaimana didakwa, dibebaskan dan sekolah agama di mana Thaqif didera terus berkembang maju.
Suspek, pembantu warden berusia 29 tahun di Madrasah Tahfiz Al-Jauhar di Johor, dibebaskan dengan jaminan awal bulan ini selepas hakim Mahkamah Sesyen memutuskan tiada bukti mencukupi untuk terus menahan beliau.
Pihak polis memberi jaminan mereka akan memperhebatkan siasatan mengenai peranan suspek dalam kematian Thaqif sedikit sebanyak melegakan kesakitan dan kemarahan dirasai keluarganya.
“Bohonglah kalau saya cakap tidak marah (dengan pembantu warden). Mulut bolehlah cakap tapi hati Allah sahaja yang tahu,” kata ibu Thaqif, Felda Wani Ahmad, 40.
“Allah Maha Mengetahui apa yang berlaku. Kalau dia bersalah dan terlepas, dia hanya terlepas di dunia tapi dia tak dapat lari di akhirat kelak.”
Felda mengakui sukar bersemuka suspek, namun sikap berdiam diri dan tanpa menunjukkan rasa penyesalan atas tindakan yang didakwa menyebabkan proses untuk Felda meneruskan kehidupan bertambah perit.
“Sebenarnya tidak perlu nak tuntut kemaafan itu daripada dia kerana sebagai orang yang berakal dan berpendidikan, walaupun dia buat salah atau tak, sekurang-kurangnya dia perlu ada rasa malu dan terdorong untuk jumpa saya atau suami saya untuk minta maaf,” kata Felda.
“Kalau dia tak nak datang tapi apa salahnya kalau wakil daripada keluarganya datang berjumpa.”

Felda berkata empat anaknya yang lain sering mengenang saat bersama Thaqif, tetapi beliau berusaha untuk melupakan segala kenangan.
“Saya sehingga kini tiada kekuatan untuk memasak kerana dia suka semua semua masakan saya. Dia suka makan nasi lemak ayam. Kalau saya masak dia akan kata; ‘mama kalau masak nasi lemak ayam sedap sangat’,” kata Felda sambil menangis kepada The Malaysian Insight.
Suaminya, bekas pemain bola sepak Selangor, sering bermain bola sepak dengan Thaqif.
“Mereka rapat seperti kawan, main bola sepak bersama. Dia (suami) sampai satu tahap nak sambung cita-cita arwah sebagai al-hafiz,” kata Felda lagi.
“Saya dalam peringkat untuk melupakan kenangan bersamanya dan kesakitan yang dihadapi itu,” kata Felda, yang juga seorang guru.
Ibu bapa Thaqif yang mengambil anak mereka pulang dari sekolah pada 31 Mac selepas mengadu sering dipukul. Beliau mendakwa didera dan diseksa oleh pembantu warden, memukul kakinya dengan hos getah sehingga ia menjadi hitam dan biru.
Thaqif meninggal dunia beberapa minggu kemudian akibat komplikasi semasa menjalani pembedahan memotong kedua-dua kakinya yang dijangkiti bakteria akibat luka dialaminya.
Pentadbiran sekolah tempat Thaqif bersekolah kini berada di bawah penelitian rapi oleh pihak berkuasa selepas timbul persoalan mengapa dan bagaimana penderaan yang dilakukan pembantu warden berlaku tanpa disedari.
Sekolah mengeluarkan kenyataan menjelaskan ia memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa, dan berkata atas dasar kasihan menyebabkan suspek diambil bekerja sebagai pembantu warden walaupun sedar rekod jenayah lampaunya.
Felda berkata apa yang membuatnya lebih sukar untuk melupakan segala-galanya adalah hakikat kebanyakan pihak yang terlibat dalam kematian tragis anaknya kelihatan sudah melupakan, termasuk pihak sekolah.
Menurut pengetua sekolah, Mohammad Afdhaluddin Ismail, tiada ibu bapa mengeluarkan anak mereka dari sekolah selepas kejadian. Malah, ia turut menerima 10 pendaftaran baru untuk memasuki sekolah itu.
Semua pelajar baru akan memulakan lembaran baru dalam hidup mereka selepas Hari Raya nanti.
Namun, bagi keluarga Thaqif, segala-galanya hanya akan selesai apabila persoalan utama yang melingkari kes itu terjawab. – 25 Mei, 2017.
Komen