Pelajar tahfiz didera meninggal dunia


Diyana Ibrahim

Madrasah Tahfiz Al-Jauhar, Kota Tinggi, Johor di mana Mohamad Thaqif Amin Mohd Gadaffi bersekolah. – Gambar The Malaysian Insight, 26 April, 2017.

MOHAMAD Thaqif Amin Mohd Gadaffi, pelajar berusia 11 tahun di sebuah sekolah agama di Kota Tinggi, Johor, meninggal dunia akibat kecederaan dialami pada 2.05 petang hari ini.

Pada Jumaat, kedua belah kaki Thaqif dipotong di Hospital Sultan Ismail, Johor Baru dan dijadualkan menjalani satu lagi pembedahan pada jam 8 pagi tadi untuk memotong lengan kanannya tetapi dibatalkan berikutan kondisi jantungnya yang lemah.

Dia meninggal dunia di hospital yang sama hari ini.

Keluarganya mengakui menyesal tidak mengesan lebih awal sebarang tanda penderaan dialami Thaqif.

Ibu saudara Mohamad Thaqif Amin Mohd Gadaffi berkata kanak-kanak itu sebelum ini pernah memberitahu ibunya, Felda Wani Ahmad, 40, yang dia sentiasa dipukul, tetapi menyangka ia perkara kecil.

“Sehinggalah, datuknya datang melawat pada Mac, dia meminta tolong memberitahu ibunya agar mengambil dari sekolah dan jika tidak, dia nekad melarikan diri,” kata Nurul Nabila Ahmad kepada The Malaysian Insight.

Nurul berkata anak saudaranya itu mula bersekolah di Madrasah Tahfiz Al-Jauhar, Kota Tinggi, Johor, pada 27 Januari dan selama tempoh 40 hari, ibu bapa tidak dibenarkan berjumpa anak mereka.

“Jarak sekolah Thaqif dengan rumah cuma 20 hingga ke 30 minit sahaja jika memandu. Sebab itu bila Thafiq begitu nekad mahu bertukar sekolah dan lari, kakak saya tidak sedap hati dan mengambil keputusan menamatkan pembelajaran Thaqif di sana pada 31 Mac.”

Nurul berkata guru besar dan guru lain tidak mengetahui kejadian penderaan fizikal dilakukan pembantu warden, kerana Thaqif memberitahu biasanya dipukul selepas waktu sekolah berakhir.

“Kakak saya cakap dia tidak boleh menyalahkan pihak sekolah dan cikgu kerana mereka tidak tahu apa yang dilakukan pembantu tersebut. Malah pengetua juga ada datang melawat dan meminta maaf kepada kakak saya.”

Dia menambah mereka sekeluarga tidak pernah bertemu warden, yang dipanggil Thaqif, “Abang Shafiq”.

“Thaqif ada bercerita bukan dia seorang selalu dipukul, rakannya yang lain juga kena tetapi mungkin tidak seteruk Thaqif. Menurut Thaqif, warden ini juga sering memukulnya walau ia bukan kesalahan Thaqif,” katanya.

Penolong warden, 29, ditangkap kerana didakwa memukul Thaqif dan rakan lain dengan paip getah.

The Malaysian Insight cuba untuk menemubual ibu Thaqif yang juga seorang guru namun, Nabila berkata emosi kakaknya itu masih berada dalam keadaan tidak stabil.

Apabila ditanya mengapa mereka mengambil masa yang lama menghantar Thaqif untuk mendapatkan rawatan, Nurul berkata kakaknya tidak menyangka keadaan menjadi begitu kritikal.

“Selepas berhenti sekolah (31 Mac), Thaqif memang ada demam, tetapi demam biasa yang kemudiannya sihat. Thaqif juga ada memberitahu kakinya kadang-kala rasa lenguh dan sakit tetapi tiada apa-apa yang jadi pada masa itu.

“Mungkin sebab Thaqif banyak berjalan atau bermain, tidak nampak sebarang tanda. Mungkin juga dia disebat di tapak kaki, jadi kami tidak nampak,” katanya.

Nurul berkata kakaknya tidak memaksa anaknya menghadiri sekolah agama dan ia pilihan Thaqif pergi ke sekolah.

“Thaqif budak yang baik. Sebelum ini dia tidak pernah ada penyakit, dia bukan seperti sesetengah kanak-kanak yang mempunyai badan lemah, Thaqif kuat. Dan Thaqif sendiri memang hendak masuk ke sekolah itu, kakak saya tidak pernah memaksanya.” – 26 April, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen