KERAJAAN komited untuk terus memastikan projek pembinaan berteraskan rakyat khususnya melibatkan infrastruktur seperti jalan raya dan jambatan akan terus dilaksanakan mengikut perancangan.
Timbalan Menteri Kerja Raya Arthur Joseph Kurup berkata sektor pembinaan memainkan peranan penting untuk pemulihan ekonomi negara yang akan memberi manfaat kepada rakyat.
Ketika ditemui pada Majlis Pecah Tanah Pembinaan Jambatan Sungai Ayer Panas hari ini, beliau berkata projek itu adalah antara 12 projek Kementerian Kerja Raya bagi Negeri Johor untuk menggantikan jambatan asal yang mengalami kerosakan struktur.
“Jambatan baharu ini sudah diluluskan dan diserah tapak projek pada Disember tahun lalu dengan peruntukan RM6.8 juta dan dijangka siap pada 2023,” katanya.
Arthur berkata projek jambatan berimpak tinggi itu merupakan laluan utama dari Tangkak ke Segamat dan dijangka memudahkan pergerakan hampir 16,000 kenderaan sehari.
Sehingga 22 Februari tahun ini, sebanyak 97 projek di Johor berada pada peringkat perancangan, reka bentuk, perolehan dan pembinaan dengan anggaran kos sekitar RM4.7 bilion. – Bernama, 8 Mac, 2022.
Komen