
HANYA dua projek Kementerian Kerja Raya (KKR) di Sabah dikategorikan ‘sakit’ iaitu Hospital Papar dan Hospital Tawau.
Timbalan Menterinya Arthur Joseph Kurup, berkata kedua-dua projek itu diklasifikasikan sebagai ‘projek sakit’ kerana pembinaannya lewat disiapkan mengikut jadual ditetapkan.
“Kami akan mengambil langkah bagi menyelesaikan semua projek sakit berkenaan supaya dapat disiapkan bagi keselesaan rakyat Sabah mengikut kos yang ditetapkan,” katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Chan Foong Hin (Kota Kinabalu-PH) yang mahu mengetahui mengenai status ‘projek sakit’ di Sabah, alasan serta langkah pemantauan supaya ia tidak berulang.
Pada November, media melaporkan sebanyak 15 projek infrastruktur KKR di Sabah dan Sarawak diklasifikasikan sebagai ‘projek sakit’.
Arthur berkata, KKR turut melaksanakan mekanisme pemantauan termasuk kontraktor, kekerapan mesyuarat di tapak, membenarkan tempoh berdenda dan mempertimbangkan lanjutan atau mengeluarkan surat amaran serta memulakan proses penamatan kontraktor jika perlu bagi mengatasi isu ‘projek sakit’.
Menjelas lanjut, beliau berkata, sehingga Februari lalu, enam projek pembinaan jalan persekutuan manakala 10 projek pembinaan dan menaik taraf jambatan jalan persekutuan diluluskan di Sabah.
“Empat daripada enam projek infrastruktur jalan persekutuan sedang dalam fasa pembinaan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah dan dijangka siap pertengahan tahun ini, manakala baki dua projek lagi dalam fasa perancangan dan reka bentuk.
“Jumlah keseluruhan kos bagi enam projek pembinaan jalan persekutuan adalah sebanyak RM1.6 bilion,” katanya.
Bagi status terkini 10 projek pembinaan dan menaik taraf infrastruktur jambatan pula, Arthur berkata, satu sedang dalam fasa pembinaan manakala sembilan lagi dalam fasa perolehan dan dijadualkan bermula pertengahan tahun ini. – Bernama, 7 Mac, 2022.
Komen