Denda tinggi langgar SOP mampu lumpuhkan perniagaan, kata kumpulan


Putrajaya bercadang menaikkan kompaun bagi syarikat kepada RM500,000 dan RM10,000 bagi individu yang melanggar SOP Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Mac, 2022.

PERSEKUTUAN Persatuan Perniagaan Malaysia (FMBA) melahirkan kebimbangan susulan cadangan pindaan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Pengerusinya Abdul Malik Abdullah, berkata denda yang berat boleh melumpuhkan perniagaan kerana ramai mungkin tidak mampu membayar denda yang terlalu tinggi.

“FMBA bersetuju perlu ada undang-undang dan larangan untuk mengawal pandemik tetapi memandangkan keadaan kini semakin menuju ke arah endemik, denda yang berat dan hukuman kompaun ini memudaratkan pemulihan ekonomi negara dan dianggap membebankan rakyat,” kata Malik.

Putrajaya bercadang menaikkan kompaun bagi syarikat kepada RM500,000 dan RM10,000 bagi individu yang melanggar SOP Covid-19.

Malik berkata, adalah penting bagi kerajaan untuk menyokong perniagaan serta membuat dasar yang boleh menggalakkan pelaburan tempatan dan asing.

“Tempoh pasca pandemik ini sangat kritikal buat perniagaan dan pemulihan ekonomi negara jadi kami memerlukan sokongan kerajaan dengan polisi, peraturan dan langkah yang membantu menggalakkan pelaburan baharu dan asing.

“FMBA mencadangkan supaya kerajaan menangguhkan sebarang perubahan dan hanya melaksanakan peraturan baharu apabila pemain industri dirunding supaya pemulihan ekonomi negara dapat disegerakan dan lebih banyak langkah kreatif boleh diambil untuk membawa manfaat sebenar bukan sahaja kepada perniagaan tetapi kepada setiap rakyat secara keseluruhan,” katanya.

Pagi ini, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata, kerajaan persekutuan tidak berhak untuk menaikkan kompaun denda susulan melanggar SOP Covid-19 kerana rakyat Malaysia biasa tidak mampu membayarnya.

“Bukan setiap rakyat Malaysia kaya seperti menteri yang mampu membayar denda RM10,000 dan setiap syarikat tidak boleh bertahan seperti kementerian apabila dikenakan denda kompaun,” kata bekas menteri kewangan itu.

Beliau berkata, terdapat insiden di Johor apabila menteri melanggar SOP yang diperkenalkan oleh kerajaan.

Lim berkata, kerajaan harus menanggung kegagalan Covid-19 dan bertanggungjawab sepenuhnya atas ketidakcekapannya. – 7 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen