Cuma menteri mampu bayar denda baharu Covid, kata Guan Eng


Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng menekankan sekali lagi rakyat biasa tidak mampu membayar denda kompaun SOP Covid-19 yang dinaikkan seperti mana menteri yang berulang kali melanggar peraturan tersebut. – Gambar EPA, 7 Mac, 2022.

KERAJAAN persekutuan tidak berhak menaikkan kompaun prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 kerana rakyat biasa tidak mampu, bukannya seperti menteri yang berulang kali buat kesalahan sama, kata Lim Guan Eng.

“Bukan setiap rakyat Malaysia biasa kaya seperti menteri yang mampu bayar denda yang dinaikkan kepada RM10,000 dan setiap syarikat tidak mampu bertahan seperti kementerian apabila dikenakan denda kompaun,” katanya.

Setiausaha agung DAP itu berkata terdapat beberapa insiden di Johor menunjukkan menteri secara berterusan melanggar SOP yang diperkenalkan oleh kerajaan.

“Kita ada Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin, Perdana Menteri Ismail Sabri, Menteri Kanan Pertahanan Hishammuddin Hussein, menteri besar Johor sementara Hasni Mohammad dan Presiden MIC S Vigneswaran ditangkap bergaul rapat dengan sekumpulan ahli politik tanpa penjarakan sosial.

“Kejadian terbaharu dua hari lepas melibatkan orang ramai menari secara ganas, melompat-lompat dan sengaja bertembung dengan penari lain tanpa penjarakan sosial pada konsert muzik rock di Air Hitam, Johor,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, acara menari itu dikaitkan dengan Kementerian Komunikasi dan Multimedia dan dihadiri menterinya Annuar Musa.

Lim berkata kerajaan perlu menanggung kegagalan Covid-19 dan bertanggungjawab sepenuhnya atas ketidakcekapan mereka.

Kerajaan juga perlu kasihan kepada mangsa Covid-19 dan menguruskan peralihan pandemik kepada endemik dengan berkesan, tambahnya.

Beliau berkata dalam keadaan sedemikian, meningkatkan denda bagi mereka yang gagal mematuhi SOP Covid-19 adalah percubaan tidak jujur ​​Putrajaya untuk menyalahkan rakyat.

Tegasnya, hukuman berat itu boleh memberi kesan buruk kepada kehidupan rakyat biasa termasuk peniaga kecil yang tidak mampu membayar denda kompaun yang berat itu.

Kenyataan Lim itu muncul selepas kerajaan mencadangkan pindaan kepada Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) untuk menaikkan kompaun denda bagi syarikat kepada RM500,000 dan RM10,000 bagi individu yang ditangkap melanggar SOP Covid-19.

Pada 1 Mac lepas bekas menteri kewangan itu berkata Pakatan Harapan akan terus menentang Akta 342 kerana cadangan yang lebih berat itu terlalu membebankan rakyat.

Lim juga berkata kerajaan Putrajaya licik dalam mengatur masa perbahasan dan meluluskan cadangan pindaan selepas pilihan raya Johor.

Beliau menyifatkan pindaan itu bertujuan untuk diluluskan selepas pilihan raya Johor, bagi mengelak kontroversi dan kesan buruk berhubung isu itu.

“BN mesti bersih atas sokongan mereka terhadap cadangan pindaan ini yang bercanggah dengan kepentingan rakyat,” kata Lim. – 7 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen