Jalan Simpang Durian di Jelebu dinaiki air


Jalan Simpang Durian-Simpang Pelangai, Bentong berhampiran Durian Tipus, Jelebu tidak dapat dilalui kenderaan ringan setakat ini kerana dinaiki air. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Mac, 2022.

JALAN Simpang Durian-Simpang Pelangai, Bentong berhampiran Durian Tipus, Jelebu dekat Seremban, Negeri Sembilan tidak dapat dilalui kenderaan ringan setakat ini kerana dinaiki air berikutan hujan berterusan sejak petang tadi.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Simpang Pertang Mohd Hafez Ibrahim, berkata laluan berkenaan yang dinaiki air kira-kira jam 6.30 petang dengan ketinggian sehingga 1 meter mampu menyebabkan kemalangan kepada pengguna jalan raya yang melalui jalan itu.

“Keadaan air ketika ini masih tinggi di laluan itu dan hanya kenderaan berat sahaja dibenarkan melalui jalan itu pada masa ini tetapi mereka perlu memandu secara berhati-hati,” katanya malam ini.

Bagaimanapun beliau berkata, tiada kejadian banjir berlaku di kawasan itu setakat ini namun bomba masih melakukan aktiviti pemantauan bagi memastikan tiada kejadian tidak diingini berlaku.

Beliau turut menasihatkan orang ramai yang berada di lokasi sekitar agar terus berjaga-jaga sekiranya berlaku banjir di kawasan kediaman dan sentiasa peka dengan arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa. – Bernama, 5 Mac, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen