Kit Siang gesa siasat dakwaan 22 tahanan penjara Jelebu didera


Penderaan seperti yang didakwa ahli keluarga tahanan semalam amat mengejutkan, kata Ahli Parlimen Iskandar Puteri Lim Kit Siang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Mei, 2021.

KERAJAAN perlu segera menyiasat dakwaan 22 tahanan didera pegawai di Penjara Jelebu, kata Lim Kit Siang.

Penderaan seperti yang didakwa ahli keluarga tahanan pada satu sidang media semalam amat mengejutkan, tambah veteran DAP itu.

Dua puluh dua tahanan terbabit didakwa disembur lada pada kemaluan semasa menjalani kuarantin di Penjara Jelebu, selain dipukul dengan paip PVC, tongkat, kerusi dan objek keras lain.

Kesemua tahanan berbangsa India berumur antara 20 dan 45 tahun itu ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (Sosma) sejak 2019 kerana disyaki terlibat dalam jenayah terancang.

“Saya menggesa satu siasatan awam atas dakwaan mengejutkan ini. Antara dakwaan adalah kemaluan mereka disembur lada sehingga mereka sukar membuang air.

“Keluarga 10 tahanan telah membuat laporan polis selepas ahli keluarga mereka mendakwa didera semasa menjalani kuarantin di Penjara Jelebu di Negeri Sembilan,” kata Lim dalam kenyataan hari ini.

Pada sidang media semalam, ahli keluarga tahanan berkata mereka bimbang jika berlaku kematian dalam penjara.

Salah seorang daripada mereka, R. Lavaniyaa, dipetik media berkata suaminya B. Kalaiarasan amat tertekan sehingga menimbang untuk membunuh diri.

“Suami saya kata ‘Kalau saya terus di sini, saya akan mati dalam penjara. Sama ada saya bunuh diri atau kena pukul sampai mati’,” katanya.

Menurut Lavaniyaa, suaminya dan 21 tahanan lain dipindahkan dari Penjara Sungai Udang di Melaka untuk menjalani kuarantin 14 hari di Penjara Jelebu selepas kes mahkamah di Seremban pada 8 April lalu.

Ahli keluarga berkata tahanan mendakwa mereka diserang pegawai yang tidak memakai pakaian seragam. Tahanan diarahkan masuk ke sebuah bilik dan menanggalkan seluar masing-masing sebelum kemaluan mereka disembur lada.

Lim dalam kenyataannya hari ini berkata pendedahan ahli keluarga 22 tahanan tersebut tidak berperikemanusiaan.

“Mengejutkan dan sama sekali tidak dapat diterima mereka dilayan lebih teruk dari haiwan, dan hak mereka dinafikan.

“Dan mengejutkan juga apabila kekejaman dan perlakuan tidak berperikemanusiaan di penjara dilaporkan semasa Hamzah Zainudin jadi menteri dalam negeri,” kata Lim. – 2 Mei, 2021.    

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen