SPRM beku aset, wang Rohana Rozhan


Alfian Z.M. Tahir

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata agensi itu membekukan aset dan wang milik bekas CEO Astro Rohana Rozhan susulan kaitannya dengan skandal 1MDB. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 1 Mac, 2022.

KETUA agensi antirasuah Azam Baki mengesahkan pihaknya membekukan aset dan wang milik bekas ketua pegawai eksekutif Astro Malaysia Holdings Bhd Rohana Rozhan berhubung perkembangan terkini yang mengaitkan beliau dengan skandal kewangan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga akan mengumpulkan lebih banyak maklumat mengenainya daripada pihak berwajib di Amerika Syarikat (AS), katanya.

“Kita sudah bekukan aset dan wangnya bernilai AS$10 juta dan kita akan dapatkan lebih banyak maklumat dari Amerika Syarikat.

“Jika perlu, kita akan panggil dia lagi untuk diambil keterangan.

“Setakat ini, perkara ini sedang disiasat berkait dengan pengubahan wang haram,” kata Azam pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Media semalam melaporkan Rohana dipanggil sekali lagi oleh SPRM untuk memberi keterangan, selepas pertama kali dirakam kenyataannya Khamis lepas (24 Februari).

Keterangan Rohana diambil selepas bekas ketua operasi Goldman Sachs di Asia Tenggara Tim Leissner memberitahu mahkamah di AS mengenai pemberian sebuah rumah berharga AS$10 juta di London kepada Rohana.

Rumah itu katanya diberi kepada Rohana supaya tidak mendedahkan apa yang diketahuinya mengenai 1MDB sepanjang perhubungan mereka.

Leissner memberi keterangan sebagai saksi pendakwaan dalam kes terhadap bekas ketua perbankan pelaburan Goldman Sachs di Malaysia Roger Ng yang dituduh bersubahat melakukan pengubahan wang haram dan melanggar undang-undang antirasuah.

Leissner mengaku bersalah atas tuduhan sama pada 2018. – 1 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen