SPRM rakam sekali lagi kenyataan Rohana Rozhan


Kalidevi Mogan Kumarappa

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia hari ini sekali merakamkan keterangan bekas CEO Astro Malaysia Holdings Bhd Rohana Rozhan berhubung skandal kewangan 1MDB, selain turut merampas beberapa dokumen kewangan bagi membantu siasatan. – Gambar Facebook, 28 Februari, 2022.

AGENSI antirasuah hari ini sekali lagi merakamkan keterangan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Astro Malaysia Holdings Bhd (Astro), Rohana Rozhan berhubung pendedahan di mahkamah di Amerika Syarikat mengenai skandal kewangan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Keterangan Rohana dirakam selama tiga jam bermula 9 pagi di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya, kata sumber.

“Keterangan beliau direkod sekali lagi pada hari ini untuk mendapatkan penjelasan berkaitan beberapa isu.

“Beberapa dokumen kewangan turut dirampas yang berkenaan untuk membantu siasatan,” kata sumber SPRM kepada The Malaysian Insight.

Minggu lalu, SPRM mengambil keterangan Rohana selama lebih kurang sembilan jam.

Keterangan Rohana diambil selepas bekas ketua operasi Goldman Sachs di Asia Tenggara Tim Leissner memberitahu mahkamah mengenai pemberian sebuah rumah berharga AS$10 juta di London kepada Rohana.

Rumah itu katanya diberi kepada Rohana supaya tidak mendedahkan apa yang diketahuinya mengenai 1MDB sepanjang perhubungan mereka.

Leissner memberi keterangan sebagai saksi pendakwaan dalam kes terhadap bekas ketua perbankan pelaburan Goldman Sachs di Malaysia Roger Ng yang dituduh bersubahat melakukan pengubahan wang haram dan melanggar undang-undang antirasuah.

Leissner mengaku bersalah atas tuduhan sama pada 2018.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki berkata kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan (AMLA) 2001 dan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009. – 28 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen