Rakyat Malaysia masih tenang di Ukraine walau berlaku letupan


Elill Easwaran

Pemandangan di luar apartment warga Malaysia di Kyiv yang hanya mahu dikenali sebagai James. Beliau berkata keadaan di sana masih selamat.– 25 Februari, 2022.

SEORANG rakyat Malaysia di Ukraine berkata beliau masih berasa selamat berada di sana ketika ini walaupun terdapat beberapa laporan letupan selepas Rusia mengisytiharkan perang semalam.

James, 31, memberitahu The Malaysian Insight keadaan kelihatan agak normal di Kyiv, ibu kota yang mana beliau tinggal.

Ahli perniagaan itu yang enggan nama penuhnya disiarkan, berkata walaupun perintah berkurung dikuatkuasakan di negara ini, orang ramai masih cuba melakukan aktiviti harian mereka.

Menurutnya, beliau turut melihat jet pejuang berlegar di ruang udara dan mendengar bunyi letupan.

Tambahnya, ada penduduk yang bertindak mengemas barang mereka dan bersembunyi di stesen metro bawah tanah.

“Aliran trafik juga tinggi di jalan raya menuju ke Poland,” katanya.

Beliau berkata kerajaan Ukraine mengenakan perintah berkurung dari pukul 10 malam hingga 7 pagi selama 30 hari.

“Tiada sekatan yang dikenakan tetapi orang ramai hanya tinggal di rumah dan tidak keluar jika tiada keperluan.

“Perkhidmatan Metro Kyiv beroperasi 24 jam,” katanya.

Gambar yang dikongsi oleh James turut memberikan gambaran lebih jelas tentang keadaan di apartmennya.

“Jika anda melihat gambar, anda boleh melihat kereta bergerak dan orang ramai melakukan rutin harian mereka,” katanya.

“Saya melihat beberapa pesawat perang dan hanya mendengar letupan. Pesawat perang itu mungkin sama ada dari pihak Rusia atau Ukraine.”

Semalam Poland berkata pihaknya akan membuka sembilan pusat pendaftaran di sepanjang sempadannya dengan Ukraine bagi menjangkakan kemasukan pelarian selepas Rusia menceroboh negara itu.

Ketika ditanya mengapa James tidak meninggalkan bandar itu, katanya beliau berasa selamat dan pernah berada di tempat yang lebih bahaya dan mencabar.

“Saya adalah seorang ahli sains politik terlatih dan pakar dalam undang-undang awam antarabangsa justeru pengetahuan saya dalam memahami situasi ini jauh lebih baik daripada kebanyakan orang di sini.

“Orang ramai menjadi takut dan panik kerana mereka tidak mempunyai maklumat.

“Jika anda mempunyai maklumat atau terlatih dengan baik dalam bidang ini, anda akan membuat keputusan yang berbeza,” kata James, yang telah menetap di sana sejak 2011.

Beliau juga berkata bahawa kedutaan Malaysia telah menghubunginya untuk berkongsi rancangan pemindahan mereka untuk rakyat Malaysia di sana.

Semalam Presiden Rusia Vladimir Putin mengumumkan “operasi ketenteraan” di Ukraine dan menyeru tentera di sana untuk meletakkan senjata, ia membangkitkan kemarahan Barat dan rayuan global untuk tidak melancarkan perang.

Kenyataannya dibuat selepas Kremlin berkata pemimpin pemberontak di timur Ukraine telah meminta bantuan ketenteraan Moscow terhadap Kiev.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata 11 rakyat Malaysia di Ukraine sedang dipindahkan di tengah-tengah ketidaktentuan di negara itu.

“Misi (Kedutaan Malaysia di Kyiv) adalah untuk berhubung dengan rakyat Malaysia. Mereka di luar Kyiv sedang membuat rancangan untuk tinggalkan tempat itu. Mereka yang berada di Kyiv akan berkumpul di kedutaan.

“Keutamaan Putrajaya adalah keselamatan rakyat Malaysia,” katanya.

Lapan rakyat Malaysia berada di Kyiv, manakala tiga lagi berada di luar ibu kota berkenaan. – 25 Februari, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen