2 syarikat didenda abai keselamatan hingga pekerja maut 


DUA syarikat masing-masing didenda RM50,000 dan RM35,000 oleh Mahkamah Sesyen di Ipoh hari ini kerana mengabaikan keselamatan hingga menyebabkan pekerja maut.

Lumut Maritime Terminal Sdn Bhd yang diwakili Ketua Pegawai Kewangan, Mohd Hidayatullah Mohamed Yusof, 43, didenda maksimum RM50,000 setelah didapati bersalah atas pertuduhan di bawah Seksyen 15(1), Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.

Hakim Norashima Khalid membuat keputusan itu setelah pihak pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap kes itu.

Syarikat itu sebagai majikan utama telah gagal memastikan pengadaan (mewujudkan) sistem penangkapan jatuh (fall arrest system) bagi kerja-kerja memasang hanging scaffold sehingga menyebabkan berlakunya kemalangan maut kepada seorang pekerja warga Bangladesh, Kamal Hossein, 42.

Kemalangan itu berlaku ketika mangsa sedang menjalankan kerja-kerja memasang hanging scaffold dan terjatuh bersama dropper tube ke lantai jeti kemudian ke dalam laut pada 12.50 tengah hari, 17 Julai 2019 di Jeti Lekir Bulk Terminal, Pulau Lekir Satu, Seri Manjung sebelum mayatnya ditemukan kira-kira 6.50 petang pada hari sama oleh pasukan mencari dan menyelamat.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Perak Devyclay Pius dan Shahrill Sulaiman manakala syarikat itu diwakili peguam Tajuddin Razak.

Sementara itu di mahkamah sama, kilang pemprosesan getah MARDEC Processing Sdn Bhd yang diwakili oleh Pengurus Operasi, Mohamad Zubir Md Desa, 49,  dijatuhi hukuman denda RM35,000 selepas mengaku bersalah atas pertuduhan di bawah seksyen sama.

Kesalahan di bawah seksyen itu memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

MARDEC Processing sebagai majikan gagal mengadakan sistem kerja selamat bagi aktiviti pemanduan forklift sehingga menyebabkan berlaku kemalangan maut kepada seorang pekerja warga Bangladesh, Md Milion Sheikh, 32.

Kemalangan telah menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah akibat dilanggar forklift pada 11.30 pagi, 4 April 2021 di MARDEC Processing, Bota Kanan dan disahkan meninggal dunia di Hospital Changkat Melintang pada 12.05 tengah hari,  hari sama.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa JKKP Perak, Eza Marny Marzuki manakala MARDEC Processing tidak diwakili peguam. – Bernama, 24 Januari, 2022.


 



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen