PKR tidak ada masalah untuk menyokong calon Muda dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor andai parti itu mengelak daripada bertanding menentang Pakatan Harapan (PH), kata Anwar Ibrahim.
“Sekiranya Muda ikut semangat manifesto (Pakatan) dan selesaikan masalah perundingan seperti mana dilakukan sebelum ini, saya tidak ada masalah untuk bersama-sama pastikan calon-calon Muda untuk menang,” kata presiden PKR itu semasa pelancaran jentera parti PRN Johor di Pulai malam ini.
“Jadi kita tunggu respons mereka dan saya percaya insya-Allah akan positif,” kata pengerusi PH.
Walaupun Anwar tidak menjelaskan lebih lanjut namun dipercayai beliau merujuk kepada ugutan terselindung Presiden Muda Syed Saddiq Abdul Rahman untuk bertanding menentang PKR di beberapa kerusi.
Pada Jumaat, Syed Saddiq berkata perbincangan antara Muda dan PKR telah gagal dan parti itu sedang mempertimbangkan langkah seterusnya.
DAP dan Amanah telah memberikan enam kerusi kepada Muda namun parti itu gagal mencapai kata sepakat dengan PKR.
Muda dikatakan mahukan Larkin, Bukit Gambir dan Kempas manakala PKR hanya bersedia memberi kerusi seperti Semarang dan Sri Medan.
Sementara itu, Anwar menepis khabar angin kononnya ada perselisihan dengan DAP dan Amanah berhubung keputusan parti itu untuk menggunakan logo PKR, bukannya logo PH dalam PRN Johor.
“Penggunaan logo PKR ini sedikit pun tidak jejaskan hubungan baik kita dengan DAP dan Amanah, rakan dalam PH.
“Belum pernah kita capai persetujuan (pantas) dalam tiga parti seperti mana berlaku di Johor. Ini maknanya hubungan baik dengan DAP dan Amanah mesti dipertahankan walaupun kita kekalkan logo kita,” kata Anwar.
PKR dilapporkan mahu menggunakan logo sendiri kerana bimbang persepsi negatif yang dikaitkan dengan kerajaan persekutuan PH.
Malah Anwar mengesahkannya malam ini apabila berkata walaupun ada kejayaan dalam PH namun ada juga kesilapan.
“Ada persoalan-persoalan yang harus kita jawab dan tidak semua kita dapat jawab dengan meyakinkan,” kata ketua pembangkang.
Namun beliau mengulangi betapa pentingnya bagi PKR untuk kekalkan hubungan dengan DAP dan Amanah jika mahu kalahkan Barisan Nasional sekali lagi.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan PRN Johor pada 12 Mac, manakala penamaan calon pada 26 Februari dan pengundian awal pada 8 Mac. – 20 Februari, 2022.
Komen