IKATAN Demokratik Malaysia (Muda) bersedia untuk melawan PKR pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor jika rundingan agihan kerusi antara mereka gagal, kata Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Presiden parti beliau itu bagaimanapun berkata Muda bersiap sedia untuk meneruskan rundingan dengan PKR berkenaan agihan kerusi.
“Muda ada bertemu dengan PKR dalam beberapa siri rundingan tetapi PKR sudah membuat keputusan untuk bertanding 20 kerusi, maka ia menamatkan rundingan rasmi kami.
“Namun, Muda sudah jelaskan kepada DAP dan Aminah yang kita mahu elak bertembung dengan satu sama lain, dan kita bersedia untuk meneruskan rundingan.
“Jika tidak ada perkembangan daripada PKR berkaitan agihan kerusi, Muda akan mengadakan mesyuarat khas minggu ini untuk mencari penyelesaian.
“Jika kita tidak boleh elak bertembung dengan PKR, kita akan biarkan rakyat Johor tentukan,” katanya.
Amanah dan DAP bersetuju memberikan enam kerusi kepada Muda iaitu bagi kerusi Bukit Kepong, Bukit Permit, Machap, Parit Raja, Puteri Wangsa dan Tenang.
Kerusi berkenaan ditandingi calon Bersatu pada Pilihan Raya Umum ke-14. Daripada enam kerusi itu, Bersatu menang empat (Tenang, Bukit Kepong, Puteri Wangsa dan Bukit Permai) sementara tewas di Machap dan Parit Raja.
Penyandang enam kerusi itu ialah Mohd Solihan Badri (Tenang-PN), Sahrudin Jamal (Bukit Kepong-PN), Nor Rashidah Ramli (Parit Raja-BN), Abd Taib Abu Bakar (Machap-BN), Mazlan Bujang (Puteri Wangsa-BN) dan Tosrin Jarvanthi (Bukit Permai-PN).
Sebelum ini dilaporkan PKR menawarkan tiga kerusi kepada Muda pada PRN Johor.
Pengerusi PKR Johor Syed Ibrahim Syed Noh berkata partinya menunggu jawapan Muda berkenaan tawaran itu.
Setakat ini, tiada pengesahan dibuat oleh Muda berkenaan tawaran PKR. – 18 Februari, 2022.
Komen