PENGUNDI kawasan pilihan raya menjadi pilihan Gerak Independent (GI) berkata mereka berpuas hati dengan perkhidmatan ahli Parlimen sedia ada mereka dan tidak mahukan perubahan, kata pemimpin masyarakat.
Bercakap kepada The Malaysian Insight mereka mendakwa tidak perlukan wakil rakyat baharu di kawasan mereka. Apa yang mereka mahu ialah ahli Parlimen mereka sekarang meneruskan apa yang mereka lakukan.
Minggu lepas GI, inisiatif bersama mempromosikan calon bebas untuk Pilihan Raya Umum (PRU), mengumumkan ia akan bertanding di enam kerusi Parlimen yang kini disandang Pakatan Harapan pada PRU15.
Kerusi itu ialah Batu, Subang, Wangsa Maju, Petaling Jaya dan Kota Kinabalu.
The Malaysian Insight berjumpa dengan beberapa pengundi di kawasan ini untuk bertanya sama ada mereka akan mempertimbangkan dan memberi peluang kepada calon bebas itu nanti.
Pemimpin masyarakat Azizi Abdul Hamid, 36, berkata sesiapa sahaja boleh bertanding dalam pilihan raya tetapi mereka mesti ada rekod yang bagus.
“Kita harap mereka yang bertanding, buat apa yang mereka cakap dan tidak sekadar tabur janji dan hanya menangi hati rakyat,” kata Azizi yang berasal dari Batu.
Beliau bagaimanapun berkata ahli Parlimen mereka, P. Prabakaran dari PKR menjalankan tugas dengan cemerlang.
“Beliau sangat aktif dan sentiasa turun padang bertemu penduduk,” katanya menambah semasa sekatan tahun lalu, Prabakaran pastikan penduduk di kawasan itu mempunyai bekalan yang mencukupi.
Azizi juga berkata sebagai pengundi beliau akan berasa lebih selesa mengundi seseorang daripada parti politik kerana calon itu akan mempunyai sokongan yang sewajarnya.
“Peluang calon bebas menang di sini sangat tipis. Bagi saya, calon bebas perlu buat kerja-kerja asas terlebih dahulu sebelum bertanding,” katanya.
Aktivis peguam terkenal Siti Kasim akan bertanding di Batu bagi pihak GI dalam PRU15 nanti.
Seorang ketua masyarakat Sentul yang hanya mahu dikenali sebagai Joe berkata tidak perlu campur tangan sebegitu di Batu.
“Kita sudah ada ahli Parlimen. Jadi, biarlah dia buat apa yang dia buat.
“Kami hormat dia (Siti Kasim) sebagai peguam dan dia harus teruskan kerja baik itu,” katanya.
Pada PRU14, Prabakaran menang kerusi Batu sebagai calon bebas yang disokong Pakatan Harapan (PH) selepas penyandang ahli Parlimen PKR Tian Chua hilang kelayakan bertanding. Beliau kemudiannya menyertai PKR selepas pilihan raya.
Sementara itu, aktivis masyarakat Petaling Jaya Sheikh Moqhtar Kadir berkata pengundi di kawasan itu gembira dengan Maria Chin Abdullah sebagai ahli Parlimen mereka.
Beliau juga menegaskan tidak melihat sebarang kerja dilakukan oleh calon GI di kawasan itu.
“Kita tidak tahu ada orang yang tidak puas hati dengan penyandang ahli Parlimen atau partinya.
“Selalu ada urusan yang baik dengan Maria. Saya akan undi dia sebab jujur, rendah diri dan terus terang, tidak seperti kebanyakan orang yang kita tahu.
“Tetapi, ia sentiasa terpulang kepada pengundi dan pilihan mereka,” katanya.
Seorang lagi ketua masyarakat, yang hanya mahu dikenali sebagai Roy, berkata Maria merupakan seorang ahli Parlimen yang berprestasi.
“Saya tidak pernah tentang sesiapa yang sanggup bertanding dalam PRU tetapi lebih baik jika calon bebas ini bertanding di kerusi yang tidak stabil.
“Mereka perlu tahu kerusi mana pengundi tidak berpuas hati dengan wakil rakyat mereka dan bertanding di sana,” kata Roy.
“Pada pendapat saya, kebanyakan orang dalam komuniti saya sangat gembira dengan apa yang telah disumbangkan oleh Maria, terutamanya semasa pandemik Covid-19.” katanya.
Pada PRU14, Maria menang di Parlimen Petaling Jaya dengan 78,984 undi menentang Chew Hian Tat dari Barisan Nasional (21,847) dan Noraini Hussin dari Gagasan Sejahtera (14,448).

Tiada sokongan parti
Tan Lai Kee, yang merupakan timbalan pengerusi persatuan penduduk Kg Lee Kong Chian di Batu, berkata beliau mendapati calon bebas kurang menarik.
Ini kerana mereka tidak ada sokongan dan bantuan parti politik, tambahnya.
Beliau juga berkata sejarah tidak menyebelahi calon bebas.
“Sejarah sudah buktikan. Selama bertahun-tahun mungkin kurang daripada 10 calon bebas sahaja yang menang.
“Pengundi sentiasa lebih suka seseorang yang datang dari parti daripada calon bebas,” kata Lai.
Avatar Singh, pengundi berusia 50 tahun di kawasan Wangsa Maju, berkata beliau tidak menemui sebab untuk menyokong calon bebas.
“Ahli Parlimen kami sekarang Tan Yee Kew sangat mudah untuk berkomunikasi, dan apabila kami ada isu dia akan bertindak balas serta-merta,” kata Avatar yang merupakan presiden persatuan penduduk PV16 Lake Condominium.
Pada PRU 2018, Tan berpindah dari Klang ke Wangsa Maju, dan mengalahkan calon MCA Yew Teong Look, dengan majoriti 24,238 undi.
Tan telah menyertai PKR daripada MCA pada 2008. Beliau sebelum ini berkhidmat sebagai ahli Parlimen Klang selama tiga penggal dari 1995 dan dilantik sebagai setiausaha Parlimen Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri selepas PRU 2004.
Avatar juga berkata calon bebas hanya mahu bertanding “untuk kepentingan mereka sendiri, bukan untuk rakyat”.
Lima komitmen GI
Gerak, sebelum ini menyifatkan dirinya sebagai kuasa ketiga, berkata ia terbuka untuk membentuk pakatan strategik dengan parti atau individu lain bagi memajukan usahanya, yang akhirnya bertujuan menjadikan negara lebih adil kepada semua.
Calon Gerak akan terikat dengan lima komitmen — Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), menamatkan politik yang pecah belah, memulihkan kebebasan yang terjamin kepada rakyat, memulihkan kuasa institusi dikembalikan kepada rakyat, dan mewujudkan dasar afirmatif berasaskan keperluan atau program pembasmian kemiskinan.
Inisiatif bersama yang dilancarkan pada Ogos tahun lalu diketuai oleh Malaysian Action for Justice and Unity Foundation (Maju) bersama NGO lain.
Siti yang juga pengasas Maju berkata tumpuan mereka adalah untuk mengubah Malaysia melalui satu-satunya penyelesaian yang berdaya maju — Parlimen.
Orang ramai boleh melihat profil calon di aplikasi mudah alih Gerak (Gerak App), yang bertujuan bagi meningkatkan komunikasi antara rakyat dan calon bebas
Calon yang akan bertanding di kerusi itu ialah peguam hak asasi manusia dan aktivis Siti Kasim (Batu) bekas wartawan Charles CJ Chow (Subang), penduduk Wangsa Maju Raveentheran Suntheralingam (Wangsa Maju), aktivis KJ John (Petaling Jaya) dan peguam Sabah Roland Cheng (Kota Kinabalu).
Kerusi keenam, yang akan ditandingi bekas ahli Parlimen Umno Sungai Benut Tawfik Ismail, masih belum diputuskan. – 21 Februari, 2022.
Komen