Gerak Independent sasar 6 kerusi Pakatan pada PRU15


Aminah Farid

Anggota Gerak Independent Siti Kasim (tengah) ketika sidang media kumpulan itu hari ini yang mengumumkan untuk bertanding enam kerusi Parlimen dalam Pilihan Raya Umum ke-15 nanti. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 17 Februari, 2022.

GERAK Independent, inisiatif bersama yang mempromosikan calon bebas, hari ini mengumumkan mereka akan bertanding di lima kerusi Parlimen milik Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

Lima kerusi itu ialah Batu, Subang, Wangsa Maju, Petaling Jaya dan Kota Kinabalu.

Calon yang akan bertanding di kerusi itu ialah peguam hak asasi manusia dan aktivis Siti Kasim (Batu) bekas wartawan Charles CJ Chow (Subang), penduduk Wangsa Maju Raveentheran Suntheralingam (Wangsa Maju), aktivis KJ John (Petaling Jaya) dan peguam Sabah Roland Cheng (Kota Kinabalu).

Kerusi keenam, yang akan ditandingi bekas ahli Parlimen Umno Sungai Benut Tawfik Ismail, masih belum diputuskan.

Siti berkata Gerak menyasarkan untuk bersaing di “tempat yang kurang berprestasi di mana ‘katak’ berkembang biak”, apabila ditanya mengapa mereka bertanding kerusi yang dipegang oleh PH.

Calon-calon secara kolektif percaya politik Malaysia lebih bagus jika ahli politik bebas berkembang maju dan bukannya terikat kepada parti politik.

“Sebagai orang bebas, kami tidak menjawab kepada sesiapa. Kami boleh bercakap mengenai sesuatu isu tanpa rasa takut dengan kesan daripada mana-mana pihak atasan,” kata Siti.
 
Beliau berkata ahli Parlimen bebas kadangkala berada dalam kedudukan yang boleh menjadi pengimbang kuasa apabila ada pungutan suara di Parlimen.

“Apabila keadaan ini berlaku, kerajaan berkemungkinan akan berunding dengan ahli bebas dalam usaha memastikan sokongan mereka. Kadangkala ahli bebas mempunyai kuasa untuk menentukan parti politik utama mana yang membentuk kerajaan,” katanya.

Siti berkata Gerak akan meletakkan kira-kira 10 calon pada PRU15.

“Kami sedang mengenal pasti calon yang lain dan akan mendedahkannya kemudian.”

Gerak, yang sebelum ini menyifatkan dirinya sebagai kuasa ketiga, berkata ia terbuka untuk membentuk pakatan strategik dengan parti atau individu lain bagi memajukan usahanya, yang akhirnya bertujuan menjadikan negara lebih adil kepada semua.

Calon Gerak akan terikat dengan lima komitmen — Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), menamatkan politik yang pecah belah, memulihkan kebebasan yang terjamin kepada rakyat, memulihkan kuasa institusi dikembalikan kepada rakyat, dan mewujudkan dasar afirmatif berasaskan keperluan atau program pembasmian kemiskinan.

Inisiatif bersama yang dilancarkan pada Ogos tahun lalu diketuai oleh Malaysian Action for Justice and Unity Foundation (Maju) bersama NGO lain.

Siti yang juga pengasas Maju berkata tumpuan mereka adalah untuk mengubah Malaysia melalui satu-satunya penyelesaian yang berdaya maju — Parlimen.

Orang ramai boleh melihat profil calon di aplikasi mudah alih Gerak (Gerak App), yang bertujuan bagi meningkatkan komunikasi antara rakyat dan calon bebas. – 17 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen