MEMBUKA semula sempadan antarabangsa dan mengisytiharkan Covid-19 sebagai endemik adalah antara langkah serta merta perlu diambil kerajaan bagi menyelamatkan perniagaan kecil dan sederhana, kata persatuan.
Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta) berkata industri PKS sedang bergelut dengan peningkatan kos, masalah tenaga kerja dan ketidakstabilan politik negara.
“Sehingga dan selagi mana kesemua ini tidak diselesaikan atau dikawal dengan baik, sebarang harapan pemulihan sepenuhnya kepada tahap sebelum pandemik adalah ilusi tidak realitisik.
“Kami menggesa kerajaan untuk mengutamakan kelangsungan PKS kita dalam beberapa bulan akan datang ketika kita sedang mengharungi langkah sukar dan payah pemulihan (ekonomi), kata Pengerusinya William Ng dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, kerajaan memerlukan dasar intervensi lebih tegas jika ia benar-benar mahu membantu PKS yang seterusnya akan membawa ekonomi negara ke tahap sebelum pandemik.
“Tak berapa masuk akal untuk beri amaran kepada PKS supaya tidak menaikkan harga atau membuang pekerja bila kos naik mendadak, ditambah lagi dengan ketidakmampuan kami beroperasi pada tahap sebelum pandemik,” katanya.
Pada Januari, Persatuan PKS Malaysia berkata 15% perusahaan mikro, kecil dan sederhana terpaksa ditutup sementara kerana kekurangan modal disebabkan pandemik Covid-19.
Presidennya Ding Hong Sing berkata terdapat 1.15 juta PKS yang membentuk 97.2% perniagaan di Malaysia.
Sejak 2015, jumlah PKS bertambah secara puratanya 4.9% setahun. Bagi industri perkhidmatan, 80% perniagaan adalah PKS dan pada 2020 jumlah ini naik kepada 85.5%. – 20 Februari, 2022.
Komen