Menteri saran Loh bawa isu penukaran agama 3 anak ke mahkamah


Alfian Z.M. Tahir

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata penimbang tara terakhir di Malaysia adalah mahkamah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Februari, 2022.

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar menyarankan ibu tunggal Loh Siew Hong membawa isu penukaran agama tiga anaknya kepada Islam secara unilateral ke mahkamah.

“Itu sahaja jalan keluar. Ini kerana ada proses demokrasi di Malaysia… timbang tara di mahkamah.

“Setahu saya, penimbang tara terakhir adalah mahkamah,” kata Wan Junaidi kepada Free Malaysia Today.

Komen Wan Junaidi itu dibuat selepas pengesahan mufti Perlis Asri Zainul Abidin bahawa jabatan agama negeri itu mendaftarkan tiga anak Loh sebagai orang Islam atas permintaan bapa mereka tiga tahun lalu yang mana tindakan itu mendapat kecaman oleh kumpulan kebebasan awam dan badan agama.

Asri berkata penukaran agama anak Loh adalah sah di bawah undang-undang Perlis kerana di bawah enakmen Islam Perlis 2016 oleh DUN sama ada bapa, ibu atau penjaga boleh mengislamkan anak bawah umur mereka.

“Negeri lain mungkin berbeza tetapi cukup seorang ibu bapa di Perlis. Dan dalam kes ini bapa kanak-kanak itu mahu anak-anaknya memeluk Islam,” kata mufti itu menerusi ceramah dalam talian malam tadi yang disiarkan secara langsung di Facebook. 

P. Ramasamy dari DAP sebagai maklum balas berkata enakmen itu bertentangan dengan keputusan Mahkamah Persekutuan.

Ia bukan sahaja bertentangan dengan keputusan mahkamah tertinggi, negeri juga bertindak di luar bidang kuasa yang diberikan di bawah Perlembagaan Persekutuan, kata timbalan pengerusi DAP dan timbalan ketua menteri II Pulau Pinang itu.

“Penukaran agama bukanlah permainan campur tolak, tetapi mengikut undang-undang. Keputusan Mahkamah Persekutuan mesti dipatuhi demi kepentingan kanak-kanak dan Loh,” kata Ramasamy dalam satu kenyataan.

Timbalan ketua menteri II Pulau Pinang itu merujuk kepada keputusan Mahkamah Mahkamah Persekutuan 2018 dalam kes M Indira Gandhi yang menyaksikan mahkamah membatalkan penukaran agama unilateral oleh bekas suaminya terhadap tiga anak mereka.

Loh yang beragama Hindu, membesarkan anak-anaknya menurut agama itu, sebelum mereka suami isteri bercerai dengan Loh mendakwa didera. 

Tiga anaknya itu diculik bekas suami ketika beliau berada di hospital pada 2019. Bekas suami Loh kini berada di penjara di Kelantan.

Susulan perceraian mereka, beliau diberikan hak penjagaan penuh anak-anaknya oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Mac tahun lalu dan melancarkan pencarian anak-anak itu, sepasang kembar perempuan berusia 14 tahun dan kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun. – 18 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen