Enakmen Perlis bertentangan keputusan Mahkamah Persekutuan, kata Ramasamy


Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang P Ramasamy berkata jabatan agama negeri Perlis bertindak di luar bidang kuasa dalam kes penukaran agama secara sepihak. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Februari, 2021.

ENAKMEN Islam Perlis yang membenarkan sama ada ibu atau bapa mengislamkan anak bawah umur adalah bertentangan dengan keputusan Mahkamah Persekutuan, kata pemimpin DAP R Ramasamy.

Ia bukan sahaja bertentangan dengan keputusan mahkamah tertinggi, negeri juga bertindak di luar bidang kuasa yang diberikan di bawah Perlembagaan Persekutuan, kata timbalan pengerusi DAP dan timbalan ketua menteri II Pulau Pinang itu.

Ramasamy mengulas mengenai kes Loh Siew Hong, yang anak kembarnya berusia 14 tahun dan seorang lagi anak lelaki berusia 10 tahun memeluk Islam tanpa kebenarannya.

Beliau berkata demikian susulan kenyataan Mufti Perlis Mohd Asri Zainol Abidin yang undang-undang Perlis membenarkan penukaran agama secara unilateral, dan dengan itu anak-anak Loh yang ditukar agama oleh bekas suaminya adalah sah mengikut undang-undang negeri.

“Penukaran agama bukanlah permainan campur tolak, tetapi mengikut undang-undang. Keputusan Mahkamah Persekutuan mesti dipatuhi demi kepentingan kanak-kanak dan Loh,” kata Ramasamy dalam satu kenyataan.

“Cakap-cakap mengenai enakmen negeri Perlis membolehkan persetujuan seorang ibu atau bapa, si bapa beri izin penukaran agama, anak-anak mahu kekal sebagai orang Islam bukan sahaja bertentangan dengan keputusan Mahkamah Persekutuan tetapi alasan yang ultra vires kepada Perlembagaan negara.

“Kewajaran mesti diutamakan dalam perkara penukaran agama ini dan tidak mengeluarkan alasan yang bertujuan untuk membenarkan kesilapan yang telah berlaku,” tambahnya.

Keputusan Mahkamah Persekutuan yang dijadikan contoh ialah penghakiman 2018 dalam kes M Indira Gandhi yang menyaksikan mahkamah membatalkan penukaran agama unilateral oleh bekas suaminya terhadap tiga anak mereka.

Asri dalam ceramah yang disiarkan di Facebook Live, berkata Enakmen Islam Perlis menyatakan sama ada bapa, ibu atau penjaga boleh mengislamkan kanak-kanak di bawah umur dalam jagaan mereka.

Beliau berkata undang-undang itu diluluskan pada 2016 oleh DUN Perlis, membolehkan mereka yang ingin mewariskan agama Islam kepada anak boleh berbuat demikian dengan persetujuan sama ada bapa atau ibu.

Loh yang beragama Hindu, membesarkan anak-anaknya menurut agama itu, sebelum mereka suami isteri bercerai dengan Loh mendakwa didera. 

Tiga anaknya itu diculi bekas suami ketika beliau berada di hospital pada 2019. Bekas suami Loh kini berada di penjara di Kelantan.

Susulan perceraian mereka, beliau diberikan hak penjagaan penuh anak-anaknya oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Mac tahun lalu dan melancarkan pencarian anak-anak itu, sepasang kembar perempuan berusia 14 tahun dan kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun.

Tiga kanak-kanak itu didapati berada dalam jagaan pihak kebajikan Perlis dan Loh bertemu mereka di balai polis Kangar empat hari lalu. Percubaan lanjutnya untuk bertemu mereka telah dinafikan.

Asri berkata ketiga-tiga kanak-kanak itu memeluk agama Islam tanpa kehadiran Loh di Jabatan Agama Perlis pada 2020.

Pihak jabatan tidak mencari Loh, tambahnya.

Tetapi Ramasamy hari ini berkata hanya kerana ibu tidak dapat ditemui pada masa kejadian bukanlah alasan atau justifikasi untuk penukaran unilateral atau tidak beretika.

“Pihak berkuasa agama sepatutnya berhati-hati dalam perkara ini dan tidak tergesa-gesa menukar agama mereka.

“Hakikat bahawa persetujuannya tidak diperoleh menjadikan penukaran agama anak-anaknya terbatal dan tidak sah,” kata Ramasamy.

Loh memfailkan permohonan habeas corpus untuk memaksa jabatan agama mengembalikan anak-anak itu kepadanya. Permohonan akan didengar pada Isnin.

Sementara menunggu perbicaraan, beliau dibenarkan melawat anak-anaknya setiap hari, tetapi ini juga dihentikan oleh pihak berkuasa agama semalam yang memaklumkan beliau memerlukan kelulusan daripada “pihak atasan”. – 18 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen