Kumpulan masyarakat sivil sahaja tak mampu bawa pembaharuan, kata Siti Kasim


Aminah Farid

Peguam terkenak Siti Kasim yang akan bertanding dalam pilihan raya umum ke-15 berkata perubahan hanya dapat berlaku melalui Parlimen sahaja, oleh sebab itu pertubuhan bukan kerajaan sebelum ini tidak dapat membawa perubahan sebenar. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 17 Februari, 2022.

TIADA sebarang perubahan dapat dilaksanakan jika hanya sekadar menjadi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negara ini, kata peguam Siti Kasim.

Beliau berkata walaupun Malaysia ada kumpulan masyarakat sivil yang bagus yang sentiasa memperjuangkan isu-isu penting, namun ia tidak membawa banyak perubahan.

“Mengapa mereka (NGO) perjuang isu-isu ini tetapi tidak ada perubahan? atau sedikit perubahan? Walaupun mereka buat banyak pembentangan kepada kerajaan, bertemu dengan menteri, terlibat dalam perbincangan meja bulat, dan semua itu. Kenapa?” tanya Siti sebagai respons kepada komen yang Gerak Independent sepatutnya menjadi NGO sahaja, bukannya terjun ke politik.

Sebelum itu Siti mengumumkan untuk bertanding di kerusi Batu sebagai calon bebas pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU) di bawah inisiatif Gerak Independent. 

“Sebabnya cuma Parlimen sahaja yang boleh ubah dasar dan undang-undang yang sebenarnya sedang dilaksanakan di Malaysia.

“Jadi inilah sebabnya saya selalu cakap, jika anda mahukan perubahan di Malaysia, anda perlu ada orang yang baik di Parlimen barulah anda dapat dasar yang bagus,” katanya.

Siti berkata jika orang ramai bergantung kepada mereka yang menjadikan politik sebagai kerjaya, maka sehingga kiamat pun tidak akan ada pembaharuan.

“Jika anda fikir ahli politik kerjaya ini akan ubah keadaan untuk anda, saya minta maaf, selama-lamanya anda kena tunggu.

“Inilah yang saya buat. Saya buat apa yang saya cakap. Saya pernah buat bising dan saya buat bising tentang banyak benda. Saya sudah nampak apa masalah di Malaysia tetapi tiada apa-apa, tiada apa yang boleh berubah jika kita tidak ada pemisahan yang bebas dalam institusi kita seperti badan kehakiman dan Parlimen.

“Hanya Parlimen boleh mengubahnya. Hanya Parlimen boleh mengubah undang-undang dan dasar di negara ini dan hanya Parlimen boleh melantik orang yang bagus untuk ketuai institusi ini,” tambahnya.

Gerak Independent, inisiatif bersama yang mempromosikan calon bebas, hari ini mengumumkan akan bertanding di lima kerusi Parlimen milik Pakatan Harapan dalam PRU15 akan datang.

Lima kerusi itu ialah Batu, Subang, Wangsa Maju, Petaling Jaya dan Kota Kinabalu.

Calon yang akan bertanding di kerusi itu ialah peguam hak asasi manusia dan aktivis Siti Kasim (Batu) bekas wartawan Charles CJ Chow (Subang), penduduk Wangsa Maju Raveentheran Suntheralingam (Wangsa Maju), aktivis KJ John (Petaling Jaya) dan peguam Sabah Roland Cheng (Kota Kinabalu).

Gerak, yang sebelum ini menyifatkan dirinya sebagai kuasa ketiga, berkata ia terbuka untuk membentuk pakatan strategik dengan parti atau individu lain bagi memajukan usahanya, yang akhirnya bertujuan menjadikan negara lebih adil kepada semua.

Calon Gerak akan terikat dengan lima komitmen — Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), menamatkan politik yang pecah belah, memulihkan kebebasan yang terjamin kepada rakyat, memulihkan kuasa institusi dikembalikan kepada rakyat, dan mewujudkan dasar afirmatif berasaskan keperluan atau program basmi kemiskinan.

Inisiatif bersama yang dilancarkan pada Ogos tahun lalu diketuai oleh Malaysian Action for Justice and Unity Foundation (Maju) bersama NGO lain.

Siti yang juga pengasas Maju berkata tumpuan mereka adalah untuk mengubah Malaysia melalui satu-satunya penyelesaian yang berdaya maju — Parlimen.

Orang ramai boleh melihat profil calon di aplikasi mudah alih Gerak (Gerak App), yang bertujuan bagi meningkatkan komunikasi antara rakyat dan calon bebas. – 17 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen