KUMPULAN masyarakat sivil melancarkan Ops Undi Johor untuk membantu pengundi Johor yang menetap di Singapura untuk mengundi pada pilihan raya 12 Mac.
Kumpulan yang diketuai Undi18 itu berkata, mereka berbuat demikian kerana Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) gagal memudahkan pengundi yang tinggal di negeri lain atau luar negara untuk mengundi.
Pengasas bersama Undi18 Qyira Yusri berkata mereka menawarkan bantuan kepada SPR untuk mengangkut kertas undi pos dari Singapura pulang ke Malaysia.
Mereka juga memulakan dana untuk membantu pengundi yang memerlukan pengangkutan untuk pulang ke Johor pada hari mengundi.
“Dianggarkan 200,000 rakyat Johor yang menetap di Singapura layak mengundi dalam pilihan raya negeri akan datang. Undi Johor dengan ini menawarkan untuk membantu SPR dalam mengangkut undi pos dari Singapura pulang ke Malaysia.
“Dana Pulang Mengundi pula akan memberi subsidi kepada kos pengangkutan pelajar dan belia yang akan pulang ke Johor untuk mengundi,” katanya pada sidang media di Kuala Lumpur hari ini.
Qyira berkata kumpulan itu kecewa kerana SPR tidak memenuhi sebarang tuntutan mereka untuk pilihan raya Johor.
Ini termasuk membolehkan pengundi yang menetap di luar negeri kembali tepat pada masanya untuk mengundi, menubuhkan pusat mengundi di luar negara, membolehkan pengundian awal di kampus untuk pelajar dan membolehkan pengundian pos untuk pengundi Johor di Sabah dan Sarawak.
Qyira hari ini juga berkata butiran lanjut akan didedahkan tidak lama lagi untuk pengundi Johor yang tinggal di Malaysia Timur.
Pada masa ini, pengundi yang menetap di luar negeri perlu memohon undi pos.
Terdahulu hari ini, Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Maria Chin Abdullah turut menggesa SPR memudahkan pengundian bagi pengundi Johor yang tinggal di luar negeri.
Hari penamaan calon untuk pilihan raya negeri Johor ditetapkan pada 26 Februari, dan pengundian awal pada 8 Mac, hari pengundian pada 12 Mac. – 11 Februari, 2022.
Komen