SURUHANJAYA Pilihan Raya mesti menyediakan lebih banyak ruang untuk rakyat Johor di luar negara menggunakan hak mengundi mereka pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang, kata Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Maria Chin Abdullah.
Maria yang merupakan bekas pengerusi Bersih 2.0 berkata dalam keadaan semasa SPR perlu praktikal, munasabah dan bersesuaian terhadap semua pengundi yang layak.
“Adalah sangat disarankan untuk SPR menggalakkan pengundian pos sebagai alternatif kepada pengundi melaksanakan hak dan kewajipan mereka dengan menubuhkan sekurang-kurangnya lima pusat pengumpulan undi di luar Malaysia untuk pengundi luar negara membuang undi.
“Rakyat Johor di luar negara boleh membuang undi dalam peti undi terlebih dahulu dan menghantarnya kembali melalui beg diplomatik ke pusat mengundi masing-masing di Johor,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
“Terdapat beribu-ribu rakyat Johor yang akan mendapat manfaat daripada ini kerana mereka masih boleh menjalankan kewajipan mengundi mereka semasa berada di seberang Tambak,” tambahnya merujuk khusus kepada rakyat Johor yang tinggal dan bekerja di Singapura.
Beliau berkata menyediakan alternatif sedemikian untuk mengundi di luar negara juga akan menyelesaikan kebimbangan peningkatan jangkitan Covid-19 yang disebabkan oleh peningkatan interaksi fizikal dan pendedahan yang tidak dapat dielakkan semasa undian fizikal.
Semalam SPR mengumumkan hari mengundi bagi PRN Johor adalah pada 12 Mac.
Pengerusi SPR Abdul Ghani Salleh berkata penamaan calon dijadualkan pada 26 Februari manakala pengundian awal akan diadakan pada 8 Mac.
Maria juga mencadangkan SPR dengan persetujuan daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) membenarkan perhimpunan kecil tidak lebih daripada 30 individu pada satu-satu masa untuk calon bertemu rakyat di kawasan mereka.
Beliau berkata mengundi tanpa mengetahui calon atau parti mana yang bertanding adalah tindakan yang sia-sia.
“Setiap pengundi berhak dimaklumkan tentang latar belakang peserta, rekod prestasi dan manifesto mereka bagi menjadikan undian mereka bermakna.
“Semua calon yang menganjurkan mesyuarat sebegini mesti mematuhi semua SOP yang ditetapkan oleh KKM. Akses dan liputan media harus sama sepanjang tempoh kempen dan tidak boleh ada sebarang sekatan atau keutamaan terpilih,” katanya. – 11 Februari, 2022.
Komen