MENTERI Pelancongan Mohamed Nazri Aziz mempertahankan kenyataannya sebelum ini berhubung laporan polis debatnya bersama Dr Mahathir Mohamad dibuat berdasarkan arahan daripada institusi tersebut.
Nazri mengulas kenyataan polis Perak semalam yang menafikan menghasut orang ramai untuk membuat laporan bagi menghentikan debat di antara Dr Mahathir dan dirinya.
“Saya tidak menipu dalam politik. Saya pertahankan kenyataan saya,” kata Nazri kepada The Malaysian Insight.
Semalam Ketua Polis Perak, Hasnan Hassan mengatakan kenyataan Nazri itu tidak benar dan merupakan satu pertuduhan liar.
“Ditegaskan pihak polis tidak akan sesekali terlibat dalam apa-apa pertikaian politik atau menyebelahi sesiapa di mana-mana tempat di negara ini.”
Nazri sebelum ini mendakwa beberapa individu memfailkan laporan polis memberitahunya mereka berbuat demikian atas arahan polis.
“Saya mendapat tahu terdapat lima laporan polis yang dibuat mengenai perdebatan itu oleh tiga orang. Kandungan dalam laporan itu sama,” katanya.
Nazri berkata mereka yang mengadu adalah ketua cawangan Umno di Padang Rengas, ahli Pemuda Umno dan ketua kampung.
“Apabila saya bertanya kepada mereka mengapa berbuat demikian, mereka kata ‘polis suruh’.”
Debat itu dibatalkan buat kali kedua selepas polis Perak menolak permohonan penganjur mengadakan majlis itu di Maktab Rendah Sains Mara di Kuala Kangsar pada 25 Mac.
Antara alasan yang diberikan bagi penolakan itu adalah polis menerima bantahan bertulis terhadap majlis itu, termasuk lapan laporan difailkan individu yang bimbang mengenai keselamatan.
Perdebatan antara menteri pelancongan dan budaya dan pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia itu pada mulanya dijadualkan berlangsung di Padang Rengas, di kawasan Parlimen Nazri.
Kedua-dua mereka dijangka berdebat beberapa topik seperti 1Malaysia Development Bhd dan skandal kewangan Bumiputera Malaysia Finance, dan RM2.6 bilion yang didepositkan ke dalam akaun bank Perdana Menteri Najib Razak. – 24 Mei, 2017.
Komen