POLIS Perak hari ini menafikan menghasut orang ramai untuk membuat laporan bagi menghentikan debat antara Dr Mahathir Mohamad dan Menteri Nazri Aziz.
Ketua Polis Perak, Hasnan Hassan berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Nazri yang dipetik The Star hari ini.
“Tidak benar dan merupakan satu pertuduhan liar,” kata Hasnan dalam satu kenyataan hari ini.
“Ditegaskan pihak polis tidak akan sesekali terlibat dalam apa-apa pertikaian politik atau menyebelahi sesiapa di mana-mana tempat di negara ini.”
Beliau berkata polis Perak bersikap profesional dan mengambil tindakan mengikut undang-undang dan peraturan sedia ada.
Nazri sebelum ini mendakwa beberapa individu memfailkan laporan polis memberitahunya mereka berbuat demikian atas arahan polis.
“Saya mendapat tahu terdapat lima laporan polis yang dibuat mengenai perdebatan itu oleh tiga orang. Kandungan dalam laporan itu sama,” katanya.
Nazri berkata mereka yang mengadu adalah ketua cawangan Umno di Padang Rengas, ahli Pemuda Umno dan ketua kampung.
“Apabila saya bertanya kepada mereka mengapa berbuat demikian, mereka kata ‘polis suruh’.”
Debat itu dibatalkan buat kali kedua selepas polis Perak menolak permohonan penganjur mengadakan majlis itu di Maktab Rendah Sains Mara di Kuala Kangsar pada 25 Mac.
Antara alasan yang diberikan bagi penolakan itu adalah polis menerima bantahan bertulis terhadap majlis itu, termasuk lapan laporan difailkan individu yang bimbang mengenai keselamatan.
Perdebatan antara menteri pelancongan dan budaya dan pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia itu pada mulanya dijadualkan berlangsung di Padang Rengas, di kawasan Parlimen Nazri.
Kedua-dua mereka dijangka berdebat beberapa topik seperti 1Malaysia Development Bhd dan skandal kewangan Bumiputera Malaysia Finance, dan RM2.6 bilion yang didepositkan ke dalam akaun bank Perdana Menteri Najib Razak. – 23 Mei, 2017.
Komen