Membaca ulang Bumi Manusia karya Pramoedya Ananta Toer


Naim Al-Kalantani

BEBERAPA hari lalu, tanggal 6 Februari, Indonesia – bahkan seantero Nusantara – menyambut kelahiran sang maestro sastera Indonesia, Pramoedya Ananta Toer. Sosok ini tidak pernah lekang dari bibir sasterawan Indonesia dan Malaysia, khususnya. 

Dalam mengingati kelahirannya, tiada apa selain naskhah karya agung Bumi Manusia yang dapat kita telusuri untuk menggali pemikiran sasterawan agung dari negara seberang ini.

Pada kesempatan awal Februari ini, saya sempat menekur beberapa halaman Bumi Manusia yang telah saya baca pada tahun 2020. Membelek-belek novel dengan ketebalan 550 halaman ini bukan satu kerja enteng. 

Sebelum itu lagi, nama Pramoedya telah lama bergulat dalam pemikiran saya. Pada waktu saya bocah lagi, saya sudah membaca Keluarga Gerilya tetapi tidak memahami apa pun dari situ kerana saya masih mentah. Naskah itu milik ibu, pernah dipelajarinya ketika sekolah dahulu. Seingat saya, pada tingkatan tiga, saya telah khatamkan novel itu tanpa tahu siapakah penulisnya, bahkan naratif kisahnya juga saya telah lupa.

Pada tahun 2020, satu iklan acah muncul di YouTube. Bumi Manusia telah ditayangkan di layar lebar. Disutradarai oleh Hanung Bramantyo. Dua perkara menarik minat saya. Pertama, pengarahnya ialah Hanung. Peminat filem-filem negara seberang tidak akan asing dengan nama ini. Pertukangannya indah dan kena pada tempatnya. 

Filem-filem biopik diolah cantik oleh sutradara muda ini menjadikan saya teruja dengan Bumi Manusia yang bakal ditayangkan di Netflix. Kedua, nama Pramoedya Ananta Toer itu sendiri telah cukup gah pada mata penekur sastera.

Cikgu saya di kampus pernah berpesan, menjadi kesalahan besar jika orang-orang sastera menonton filem adaptasi tanpa membaca teks asalnya dahulu. Berbekalkan semangat itu, saya sering bercanda dengan rakan-rakan – “Termasuk dalam dosa-dosa besar dalam sastera jika menonton filem tanpa membaca novel asal.”

Saya ada satu pemikiran skeptikal kepada novel-novel lama yang ditulis oleh orang-orang lama. Saya tidak dapat menahan perasaan ini – saya beranggapan bahawa novel yang ditulis oleh orang-orang lama, lazimnya tidak memenuhi kepuasan diri saya kerana latar dan gaya mereka menulis bukan pada zaman saya. 

Jurang ini seperti saya berasa lelah menekur Salina karya A Samad Said. Tetapi ia tidak berlaku dalam Bumi Manusia. Inilah kehebatannya. 

Saya yakin, selain keutuhan tema novel ini sendiri, antara lain sebab novel ini berjaya diuji zaman ialah bagaimana gaya Pramoedya menulis novel roman ini supaya novel yang setebal ini tidak membosankan. 

Roman menjadi gelora anak muda, bergandingan dengan tema nasionalis bangsa dan feminisme menjadikan Bumi Manusia boleh (dan sedap) dibaca oleh semua peringkat umur.

Satu lagi bahan kelakar yang saya sering ajukan pada rakan-rakan sastera: untuk menulis karya yang baik, seorang penulis perlu dipenjarakan dahulu. 

Bumi Manusia ini ditulis semasa Pramoedya dipenjarakan. Dua tahun pertama beliau dipenjarakan, beliau tidak dapat menulis. Selepas itu barulah beliau dibenarkan menulis dan juga terhasillah tetralogi Pulau Buru. 

Semasa dalam penulisan, Pramoedya tidak syok sendiri, dia bercerita kisah dalam tulisannya kepada rakan-rakan sepenjaranya. Beliau tidak berimaginasi kosong tetapi mendapat saran dan pandang dari teman-temannya juga menjadikan novel ini tidak membosankan dan tetap diuji walaupun sudah berdekad-dekad lamanya.

Selepas dibebaskan, helaian-helaian kertas dari dalam penjara itu dikeluarkan dan ditaip kembali. Dijilid, dan diedar meluas di Indonesia. Ia mendapat sambutan hangat. Cetakan pertama hingga kesepuluh terjual lebih dari 20 ribu eksemplar. Dan selepas itu ia diharamkan oleh kerajaan Republik Indonesia. Alasannya ialah berkait dengan Marxisme dan komunisme. 

Saya kecewa, saya tidak menjumpai di manakah Marxisme dan komunisme di dalam buku ini selain semangat nasionalis yang melawan penjajah Belanda.

Watak utama, Minke yang bercinta yang dengan seorang gadis kacukan Belanda-Indonesia, Annelies. Gadis ini mempunyai seorang emak, Nyai Ontosoroh. Sanikem nama sebenar Nyai Ontosoroh dijual oleh ayahnya sewaktu kecil kini seorang yang cintakan bangsa, tegas, dan juga wanita yang berkarisma sebagai pemimpin. 

Kehebatan novel ini bukan terletak pada roman Minke dan Annelies ini sebagai watak utama, tetapi Pramoedya berjaya mengalih tema asal novel ini yang digalas berat oleh Nyai Ontosoroh. Pertukangan sebegini bukan satu kerja yang sepele, tetapi satu garapan yang bijak di mana penulis boleh menjadikan watak sampingan membawa naratif cerita.

Saya masih ingat, ketika filem ini keluar, iklan acah yang saya perasan di YouTube tadi saya tidak tonton sehingga tamat. Segala ulasan dan kritikan terhadap filem ini saya abaikan kerana saya tidak mahu pemikiran saya diganggu oleh orang ketiga. Saya berusaha untuk menghabiskan novel yang tebal ini dalam masa enam hari sahaja dan terus menonton filem Bumi Manusia.

Dalam dunia adaptasi – sekurang-kurangnya bagi karya sastera – saya rasa tidak banyak naskhah yang betul-betul dapat diangkat ke layar lebar sesempurna karya asal. Perkara ini bukan satu itu besar sehingga mana tidak kacau tema utamanya. 

Selepas menonton tiga jam filem ini, saya sedikit kecewa. Ada babak penting yang dipotong. Babak yang saya ingat ialah Babah Ah Tjong sebagai tauke rumah pelacuran. Lakonan mantap Chew Kin Wah memang serupa dengan apa yang digambarkan oleh Pramoedya. Tetapi babak penting itu tiada. Ketiadaan babak tersebut menjadikan penonton yang tidak membaca novel akan tertanya-tanya mengapa Herman Mellema bertindak garang dan bengis kepada Annelies dan Nyai Ontosoroh.

Pun, kerja kreatif Hanung Bramantyo boleh diberikan lima bintang untuk latar tempat, latar masa dan penataan busana. 

Saya kagum dengan Hanung dalam perincian latar. Pramoedya dalam novel ini tidak melukiskan latar kerana naratif cerita ini digerakkan oleh sudut pandang pertama dari Minke atau ‘aku’. Agak kekok jika pembaca membaca ‘aku’ yang melukiskan panjang lebar latar tempat dan latar masyarakat melainkan sudut pandang yang nampak oleh Minke sahaja, bukan dari sudut pandang pengarang. 

Jadi, kejayaan Hanung berada di sini. Beliau dapat menterjemahkan latar dan busana dengan sukses.

Cuma menjadi satu masalah besar proses adaptasi ini ialah ketidaksampaian tema utama kepada penonton. Walaupun ada beberapa cara adaptasi dilakukan dalam mengangkat teks ke layar, tetapi saya masih berpegang apa-apa tema asal di dalam teks mestilah selari dengan roh yang dibawa ke dalam layar kelak. 

Filem Bumi Manusia gagal dalam bab ini dan menjadi hanya sebuah filem percintaan Minke dengan Annelies. Watak Nyai yang begitu menonjol di dalam novel tidak diangkat bersama. Walhal melalui watak inilah yang menggerakkan naratif cerita menjadi lebih tegang dan sensasi.

Jika kita pisahkan novel ini dengan filem, Bumi Manusia berjaya sebagai sebuah filem yang sangat bagus. Tetapi kalau digandingkan dengan novel, ada benda yang tidak sampai kepada penonton dan mengakibatkan penonton yang tak membaca novel berasa itulah sahaja yang Pramoedya tulis di dalam novel tebalnya.

Februari menjadi bulan kelahiran Pramoedya layak diingati bersama. Pramoedya bukan milik Indonesia. Tetapi beliau milik kita semua. Membaca Bumi Manusia ialah satu pengalaman yang betul-betul mengujakan dalam hidup saya. 

Tidak lain dan tidak bukan, jika hendak mula membaca Pramoedya, cubalah dengan Bumi Manusia dan kalian akan merasai kehebatan penulisan maestro sastera ini. – 9 Februari, 2022.

* Naim Al-Kalantani, penuntut ijazah sarjana muda di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) dalam bidang penulisan kreatif di bawah Fakulti Penulisan Kreatif dan Filem.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen