Malaysia bersedia beralih ke fasa endemik, kata Hishammuddin


Menteri kanan Hishammuddin Hussein berkata Mesyuarat Kuartet Menteri Covid-19 bersetuju negara boleh memasuki fasa endemik tetapi sedang menunggu kelulusan daripada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Februari, 2022.

MESYUARAT Kuartet Menteri Covid-19 bersetuju negara boleh memasuki fasa endemik tetapi sedang menunggu kelulusan daripada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, kata menteri kanan Hishammuddin Hussein hari ini.

Pengerusi kuartet itu berkata negara perlu bergerak ke hadapan walaupun terdapat kebimbangan berterusan mengenai varian Omicron yang setakat ini diketahui menyebabkan Covid-19 kurang teruk walaupun sangat mudah berjangkit.

“Perbincangan mengenai fasa endemik diselesaikan tetapi bila akan berlaku ia akan diumumkan oleh perdana menteri.

“Ramai yang bimbang tentang Omicron tetapi kita perlu bergerak ke fasa seterusnya,” kata Hishammuddin selepas mesyuarat kuartet petang tadi.

Beliau menambah Perintah Kawalan Pergerakan Yang Dipertingkatkan (PKPD) akan digunakan sebagai alat bagi membendung penularan virus jika perlu tetapi sekatan keseluruhan tidak akan dikenakan lagi.

“Situasi Covid-19 di negara ini terkawal. Penggunaan katil ICU tidak seperti dahulu walaupun kes meningkat sejak beberapa hari kebelakangan ini.

“Apabila kita secara rasmi berada di bawah endemik, prosedur operasi standard (SOP) akan dikurangkan dan kami akan menggariskan sembilan peraturan,” tambah Hishammuddin.

Pada 11 Januari Hishammuddin berkata kerajaan memutuskan untuk menangguhkan rancangan memasuki fasa endemik.

Terdahulu hari ini Majlis Pemulihan Negara berkata mereka mencadangkan kepada kerajaan agar sempadan dibuka semula sepenuhnya mulai 1 Mac tetapi ia juga sedang menunggu kelulusan.

Kes harian Covid-19 menyaksikan lonjakan mendadak dalam beberapa hari kebelakangan ini mencatatkan lebih 13,000 kes hari ini disebabkan oleh varian Omicron yang lebih mudah menular dan penyambungan semula sekolah fizikal bulan lepas serta lebih banyak aktiviti ekonomi. – 8 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen