MAJLIS Pemulihan Negara (MPN) mengesyorkan sempadan negara dibuka segera dalam usaha untuk memacu pemulihan ekonomi Malaysia, kata pengerusinya Muhyiddin Yassin.
Muhyiddin berkata sempadan boleh dibuka sepenuhnya seawal 1 Mac tanpa memerlukan kuarantin wajib.
“Namun, setiap individu perlu mengambil ujian saringan Covid-19 sebelum dan selepas memasuki negara ini.
“Pembukaan sempadan negara perlu dilaksanakan dengan baik dan berdasarkan kepada penilaian risiko semasa. Syarat dan peraturan lain akan diumumkan Kementerian Kesihatan,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat majlis itu hari ini.
Minggu lalu, Muhyiddin berkata Putrajaya perlu memberikan jangka waktu untuk bila sempadan antarabangsa akan dibuka semula bagi menarik pelabur asing, yang akan dapat merangsangkan ekonomi.
Beliau berkata jika sempadan terus ditutup, ekonomi tidak akan dapat memasuki fasa pemulihan.
Katanya, MPN akan meminta Putrajaya membuka sempadan secara berperingkat tidak lama lagi, bagi membolehkan aktiviti ekonomi diteruskan. – 8 Februari, 2022.
Komen