KUMPULAN pekerja perkhidmatan hospital awam berharap tuntutan mereka untuk dilayan sebagai kakitangan tetap kerajaan akan dipenuhi selepas bertemu Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin di Putrajaya hari ini.
Kira-kira 30 ahli Kesatuan Pekerja-Pekerja Swasta Perkhidmatan Sokongan Di Hospital-Hospital Kerajaan Semenanjung Malaysia (NUWHSAS) hadir bagi menyerahkan memorandum kepada Khairy, memperincikan gaji mereka yang tidak seberapa dan layanan “perhambaan zaman modern” oleh kontraktor swasta yang mengupah mereka.
NUHWHSAS mengemukakan tiga tuntutan iaitu hapuskan sistem kontrak dan serap pekerja perkhidmatan sebagai kakitangan kerajaan sepenuh masa, beri elaun Covid-19 dan berhenti daripada mengganggu kesatuan sekerja.
Presiden NUWHSAS Roziah Mohammed Hashim berkata kesatuannya meletakkan harapan tinggi, berharap akan ada perubahan selepas bertemu Khairy.
Ini merupakan kali pertama menteri kesihatan bertemu kesatuan sekerja sejak pekerja pembersih kontrak pertama kali tonjolkan masalah ini lima tahun lepas.

“Kami bercakap dengannya dipejabatnya dan kami harap akan ada beberapa perubahan tidak lama lagi,” kata Roziah dalam sidang medianya.
Beliau merupakan salah seorang daripada ahli yang berkonvoi sejauh 530 kilometer dari Hospital Bukit Mertajam di Pulau Pinang untuk bertemu Khairy. Perjalanan mereka bermula pada Sabtu, mengambil masa empat hari yang waktu rehat mereka digunakan bagi menjelaskan keadaan mereka kepada orang ramai.
Roziah bagaimanapun berkata, terdapat banyak halangan sebelum mereka tiba di Putrajaya.
“Setiap kali kami ingin masuk ke hospital untuk berjumpa dengan petugas kebersihan, kami dihalang oleh penyelia hospital dan polis,” katanya.
“Semakin dekat kami dengan Putrajaya, semakin ramai anggota polis di hospital.”
Khairy, yang turut menghadiri sidang media itu berkata beliau akan mengadakan pertemuan dengan syarikat yang mengupah tukang cuci untuk mendengar cerita mereka.
“Pembersih ini juga merupakan barisan hadapan yang memainkan peranan besar semasa pandemik jadi saya pasti akan meneliti perkara ini,” katanya.

Dalam temu bual sebelum ini dengan The Malaysian Insight, Roziah berkata 50,000 ahli kesatuan itu mahu dilayan sebagai kakitangan kerajaan tetap.
Sistem kontrak telah diperkenalkan pada 1 Februari 1997, dan sejak itu pekerja pembersih hospital awam telah dibayar gaji minimum. Jumlah itu ditetapkan oleh Majlis Perundingan Gaji Negara melalui perjanjian kolektif, dan kemudiannya, oleh kerajaan di bawah Perintah Gaji Minimum 2012 apabila ia berkuat kuasa pada 2013.
Gaji minimum semasa mulai 2020 ialah RM1,200.
Sebelum sistem kontrak, pembersih boleh mendapatkan pinjaman kerajaan dan layak mendapat skim pencen kerajaan, tambah Roziah. – 8 Februari, 2022.
Komen