Pekerja perkhidmatan hospital berkonvoi 530km, tuntut gaji setimpal


Kumpulan pekerja perkhidmatan hospital kerajaan berkonvoi dari Pulau Pinang ke Putrajaya bagi membawa isu mereka kepada perhatian kerajaan berhubung gaji yang tidak setimpal. – Gambar Facebook, 5 Februari, 2022.

SEKUMPULAN pekerja perkhidmatan hospital kerajaan berkonvoi dari Pulau Pinang ke Putrajaya bagi membawa isu mereka kepada perhatian kerajaan berhubung gaji yang tidak setimpal dan “perhambaan zaman moden” oleh kontraktor swasta yang mengupah mereka.

Konvoi bermula dari Hospital Bukit Mertajam di Pulau Pinang sejauh 530km dalam tempoh empat hari termasuk berhenti di hentian rehat bagi memaklumkan kepada orang ramai mengenai nasib mereka sebagai pekerja di institusi kerajaan tetapi dibayar oleh syarikat swasta, kata Timbalan Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM) S Arutchelvan di media sosial.

Kesatuan Pekerja-Pekerja Swasta Perkhidmatan Sokongan Di Hospital-Hospital Kerajaan Semenanjung Malaysia (NUWHSAS) menerusi poster yang dikongsi di Twitter dan Facebook berkata tukang cuci dan kakitangan sokongan hospital kerajaan hanya dibayar RM1,200 sebulan.

“Mereka bekerja di hospital Kementerian Kesihatan tetapi dibayar oleh kontraktor swasta yang mengaut keuntungan besar dengan perbelanjaan mereka.

“Mereka terperangkap dalam kontrak yang tidak adil yang hampir sama dengan perhambaan zaman moden.

“Kesatuan sentiasa berdepan tentangan oleh kontraktor swasta dan ancaman dikeluarkan kepada mereka yang aktif dalam kesatuan itu,” kata NUWHSAS. 

Konvoi itu dijangka tiba di Putrajaya pada 8 Februari. Kumpulan itu berharap dapat bertemu dengan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin yang turut mereka tandai dalam catatan di media sosial.

Kesatuan itu berkata orang ramai boleh menyokong usaha ini dengan berkongsi maklumat terkini media sosial mengenai konvoi berkenaan selain menyumbangkan makanan dan air kepada peserta konvoi.

Kesatuan itu menghantar lima memorandum mengenai nasib pekerja kepada Kementerian Kesihatan sejak 2015 tetapi tiada sebarang tindakan diambil, tambahnya.

“Oleh kerana kerajaan tidak memberi perhatian kepada isu kami, kami akan membawa tuntutan ke Putrajaya,” katanya. – 5 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen