IKATAN Demokratik Malaysia (Muda) belum menetapkan jumlah kerusi yang mahu ditandinginya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, kata presidennya Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Katanya, rundingan pengagihan kerusi dengan Pakatan Harapan (PH) masih berjalan dan beliau terkejut dengan laporan yang memetik Anwar Ibrahim meminta Muda menyerahkan senarai 10 kerusi yang mahu ditandinginya.
“Biar saya tegaskan, sesiapa yang bercakap mengenai rundingan (kerusi) bagi pihak Muda, mereka tidak mewakili Muda.
“Anda jarang dengar orang dari Muda bercakap mengenai kerusi saya kata kepada mereka tidak usah cakap mengenai kerusi.
“Jadi tentang 10 kerusi itu, jujurnya ia benda baharu bagi saya. Saya tidak pernah dengar Muda mahu tanding 10 kerusi.
“Saya tidak pernah permintaan supaya Muda perlu senaraikan calonnya sebelum rundingan. Ini kali pertama saya dengar,” katanya dalam satu wawancara dengan The Malaysian Insight.
Kelmarin, Anwar meminta menyerahkan senarai kerusi dan calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan ada media melaporkan pengerusi PH itu berkata Muda mahu bertanding di 10 kerusi.
PH sebelum ini mengumumkan akan bertanding semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri Johor, dengan PKR dan Amanah masing-masing diperuntukkan 20 kerusi dan DAP 16 kerusi.
Syed Saddiq berkata beliau sudah beberapa kali berunding dengan pemimpin parti pembangkang mengenai PRN Johor namun tidak pernah menyebut yang Muda mahu bertanding di 10 kerusi.
Katanya mereka akan mengumumkan hal itu selepas mencapai kata sepakat.
“Yakinlah, baik 5, 10 atau 15 (kerusi) semua ini mesti dibincang secara dalaman dan apabila sudah capai kata muktamad, kami akan umumkan.
“Rundingan kerusi akan diputuskan secara bersama dan kamu cuba sebaik mungkin untuk mengurangkan pertindihan kerusi sesama parti pembangkang.
“Jangan terima kenyataan orang lain untuk dijadikan rujukan tentang Muda.
“Apa yang saya boleh beritahu, kami sudah masuk rundingan pusingan kedua dengan PKR dan pusingan ketiga dengan PH terutamanya Amanah dan DAP,” katanya.
Syed Saddiq juga memberitahu pihaknya juga berbincang dengan rakan-rakan lain dalam kalangan pembangkang.
“Hanya dengan pembangkang. Bukan sekali, bukan dua kali, tetapi banyak kali,” tambahnya.
Rundingan sulit
Syed Saddiq juga berkata beliau tidak mahu urusan rundingan itu dibawa kepada umum sebelum muktamad demi menghormati proses rundingan.
Malah katanya rakyat yang sudah muak dengan politik tentu akan lebih jelak dengan cakap-cakap mengenai rundingan kerusi.
“Kami mahu menghormati proses rundingan dan kerana itu tidak bercakap mengenainya secara terbuka walaupun sesetengah pihak bercakap bagi pihak kami.
“Rakyat Malaysia amnya dan terutamanya di Johor marah, bosan dan penat dengan gaya politik lama.
“Yang mereka dengar di tengah pandemik dan selepas bencana banjir ialah tentang kerusi, rebut kuasa, pemimpin bertelagah sedangkan hakikatnya Muda mahu fokus pada mendengar iaitu kita kumpulkan pandangan umum sebelum kita terjemahkan menjadi cadangan dasar, iaitu kita tekankan pada politik khidmat,” katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijadual bermesyuarat esok untuk menetapkan tarikh-tarikh proses pilihan raya.
PRN Johor perlu diadakan dalam tempoh 60 hari daripada pembubaran dewan negeri pada 22 Januari.
“Muda lebih utama daripada saya”
Syed Saddiq juga berkata rundingan kerusi tidak muda dan menuntut banyak tolak ansur.
Katanya, mereka akan berusaha untuk mencapai keputusan yang menguntungkan semua pihak.
Muda juga katanya bersedia menghadapi apa saja kemungkinan walaupun pada dasarnya mengharapkan hasil yang memuaskan.
“Kalau tiada jalan tengah, kita akan cuba yang terbaik untuk elak sebarang pertindihan.
“Bagaimanapun saya tidak fikir kita boleh anggap rundingan akan buntu,” katanya.
Ditanya tentang pencalonannya, Syed Saddiq berkata PRN Johor peluang untuk ahli Muda bertanding dan menjadi sebahagian daripada anggota kerajaan negeri.
Katanya, Muda mempunyai banyak pemimpin berbakat dan beliau sedia melorongkan jalan untuk mereka ke depan.
“Muda bukan Syed Saddiq dan Syed Saddiq bukan Muda. Muda lebih besar daripada Syed Saddiq.
“Kita ada banyak bakat dan calon muda yang hebat yang boleh ditawarkan untuk kebaikan rakyat Johor. Ini rakyat Johor, mereka pelbagai kaum, lelaki dan wanita,” katanya.
Syed Saddiq percaya adalah lebih baik untuk beliau menumpukan perhatian membantu mereka ini terpilih sebagai wakil rakyat supaya Muda “boleh menunjukkan apa yang boleh ia tawarkan untuk rakyat Johor dan Malaysia.”
Syed Saddiq bagaimanapun tidak menepis beliau tidak akan bertanding pada PRN Johor.
Katanya, perkara itu akan dibincangkan selepas rundingan kerusi dengan PH.
“Sama ada saya bertanding atau tidak, itu adalah keputusan yang akan dibincang bersama.
“Katalah kita capai kata sepakat dan Muda mesti buat keputusan yang sukar iaitu kita hanya dapat sedikit kerusi yang boleh dimenangi. Keutamaan saya ialah untuk orang lain terlebih dahulu (menjadi calon),” katanya.
“Walaupun saya berundur, tidak mengapa kerana kerja saya ialah berkempen bersungguh-sungguh untuk memastikan mereka terpilih.” – 8 Februari, 2022.
Komen