PENGERUSI Pakatan Harapan Anwar Ibrahim meminta Muda menyerahkan senarai kerusi dan calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Rundingan antara PH dan Muda mengenai pengagihan kerusi akan diteruskan selepas itu, kata Anwar.
“Tak apa biar mereka (Muda) bawa senarai dulu kepada kita (PH), kemudian baru kita bincang,” katanya seperti dipetik media di Shah Alam, hari ini.
Anwar diminta mengulas hasrat Muda yang dikatakan mahu bertanding 10 kerusi pada PRN Johor.
Dua hari lepas, Timbalan Pengerusi PKR Johor, Jimmy Puah Wee Tse juga dipetik berkata pihaknya sudah mula berunding dengan Setiausaha Agung Muda, Nur Amira Aisyah Abd Aziz dan Pengerusi Muda negeri, Mohd Azrul Ab Rahani.
Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman juga berkata rundingan PH dan pihaknya berjalan lancar.
Syed Saddiq, yang juga Ahli Parlimen Muda, antara nama yang disebut bakal ditampilkan sebagai calon bersama setiausaha agung parti Nur Amira Aisyah Abd Aziz.
PH sebelum ini mengumumkan akan bertanding semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri Johor, dengan PKR dan Amanah masing-masing diperuntukkan 20 kerusi dan DAP 16 kerusi.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijadual bermesyuarat Rabu ini untuk menetapkan tarikh-tarikh proses pilihan raya.
PRN Johor perlu diadakan dalam tempoh 60 hari daripada pembubaran dewan negeri pada 22 Januari. – 6 Februari, 2022.
Komen